Lebuhraya CSR, KBKK dijangka siap 2025

0
1

PEMBINAAN Lebuhraya Central Spine Road (CSR) membabitkan laluan Bentong, Pahang ke Kuala Krai dan Lebuh Raya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) dijangka siap sepenuhnya 2025, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 21 peratus daripada keseluruhan jajaran CSR telah siap dan boleh digunakan iaitu meliputi jalan dari Merapoh hingga ke Kampung Seberang Jelai di Pahang sejauh 62 kilometer.

“Jajaran KBKK yang sudah boleh dilalui pengguna jalan raya adalah dari Pasir Hor ke Ketereh di Kelantan sepanjang 13.85 kilometer iaitu 20 peratus daripada keseluruhan projek ini.

“Apabila siap kelak, CSR dan KBKK dijangka dapat mengatasi masalah kesesakan terutama ketika waktu puncak, hujung minggu dan musim perayaan selain membantu mengurangkan kadar kemalangan,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Mustapa berkata, projek CSR dari Bentong, Pahang ke Kuala Krai membabitkan laluan sejauh 295.7 kilometer manakala KBKK pula laluan sejauh 67.6 kilometer dengan jumlah kos keseluruhan diluluskan di peringkat dasar RM9.5 bilion.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua projek berkenaan yang dicadangkan dalam Belanjawan 2021 hanya dapat dilaksanakan apabila diluluskan pada peringkat jawatankuasa di persidangan Parlimen. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here