PKPD Kampung Numbak, Penempatan Telipok dilanjut 2 minggu lagi

0
2

Muhammad Mustakim Ramli

PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Numbak dan Penempatan Telipok di Kota Kinabalu, Sabah dilanjutkan selama dua minggu lagi sehingga 13 Disember depan.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati terdapat terdapat 109 kes aktif di Kampung Numbak manakala 136 kes aktif di Penempatan Telipok.

“PKPD di kedua-dua kawasan ini dijadual berakhir hari ini, namun pada 27 November KKM mengesahkan masih terdapat kes aktif di kawasan berkenaan.

“Selain jumlah kes aktif yang masih tinggi, terdapat ramai lagi penduduk di kedua-dua lokaliti ini yang perlu menjalani ujian saringan. Berdasarkan penilaian risiko dan nasihat KKM, Kerajaan bersetuju untuk melanjutkan PKPD selama 14 hari lagi bermula esok sehingga 13 Disember,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, seramai 648 individu ditahan atas pelbagai kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 594 individu telah dikompaun manakala 54 individu pula direman.

“Antara kesalahan ingkar arahan PKP termasuk aktiviti pusat hiburan (331), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (102), tidak memakai pelitup muka (65), rentas negeri/daerah PKPB tanpa kebenaran (64), gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (60), dan lain-lain (26),”katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here