MP pembangkang tolak bajet tak peduli kepentingan rakyat, negara – PAS

0
1

Nurul Huda Abhar

TINDAKAN beberapa Ahli Parlimen pembangkang yang tidak bersetuju semasa pengundian Belajawan 2021 di Dewan Rakyat semalam, terang-terangan melanggar titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Ketua Penerangan PAS, Kamaruzaman Mohamad berkata, Yang di-Pertuan Agong dalam titah nasihatnya amat menekankan supaya Ahli Parlimen memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021 demi kesejahteraan dan kemaslahatan negara.

“Namun, tindakan tidak wajar telah ditonjolkan beberapa Ahli Parlimen pembangkang dengan menunjukkan sikap melanggar titah baginda dalam suasana pengundian Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2021.

“Tindakan tersebut jelas mengenepikan kepentingan rakyat dan negara dengan lebih mengutamakan kepentingan politik sempit, biarpun negara sedang berdepan pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kamaruzaman berkata, PAS menjunjung titah Yang Di-Pertuan Agong dalam menzahirkan rasa penghargaan kepada semua ahli Dewan Rakyat yang bermuafakat bagi meluluskan Belanjawan 2021.

“PAS menyeru kerjasama erat pemimpin negara dan rakyat supaya penularan gelombang ketiga wabak ini berjaya diurus dengan berkesan,” ujarnya lagi.

Semalam, Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar meminta Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun melaksanakan undi belah bahagi Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat.

Bagaimanapun, hanya 13 Ahli Parlimen pembangkang menyokong cadangan undi belah bahagi daripada jumlah sepatutnya diperlukan, 15 Ahli Parlimen. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here