LAPAN Ahli Parlimen Parti Amanah Negara (Amanah) memohon undi belah bahagi di Parlimen bagi menolak Belanjawan 2021 semalam, berdasarkan keputusan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH).
Pengarah Komunikasinya, Khalid Abd Samad, berkata mereka yakin penggulungan dibuat Menteri Kewangan itu telah menerima desakan pembangkang sebelum ini, tetapi tanpa angka-angka jelas serta berlaku unsur putar-belit dan pembohongan.
Katanya, ini berlaku apabila Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz hanya meminta input dari pembangkang tetapi tidak pernah membincangkan apa yang patut dilakukan sehinggalah penggulungan semalam.
“Justeru, atas dasar itulah, selepas Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar memohon undi belah bahagi dibuat, tujuh MP Amanah bangun menyokongnya.
“Itu pendirian kami dan kami hormati pendirian PKR, DAP dan lain-lain dalam Dewan yang tidak menyokong undi belah bahagi ini,” katanya menerusi bual bicara di Jom Chanel malam tadi.
Khalid berkata, empat Ahli Parlimen Pejuang dan seorang dari Parti Sarawak Bersatu (PSB) iaitu Baru Bian menjadikan 13 Ahli Parlimen yang menyokong permohonan undi belah bahagi itu.
“Namun permohonan Mahfuz itu tidak mencukupi 15 Ahli Parlimen yang perlu untuk undi belah bahagi dilakukan,” katanya.
Khalid berkata, Pengerusi PH yang juga Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berbincang dengan Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng memutuskan agar tidak dilakukan undi belah bahagi.
“Hujahnya mereka bimbang jika kita tolak belanjawan ini di peringkat dasar secara undi belah bahagi, orang ramai akan berpendapat kita tolak belanjawan secara keseluruhan sedangkan ada kebaikan untuk rakyat.
“Jadi kita akan tolak semasa undi di peringkat jawatankuasa. Mana-mana keputusan peringkat kementerian yang kita tidak setuju, kita akan tolak,” jelasnya.
Menurutnya, atas dasar tersebut dan menghormati Pengerusi PH, ahli-ahli tidak bangun untuk menyokong undi belah bahagi itu.
Ahli Parlimen Shah Alam itu turut mengakui beliau dan Ahli Parlimen PH menerima mesej menerusi WhatsApp selepas penggulungan Mengteri Kewangan untuk tidak mengadakan undi belah bahagi.
“Tetapi perangai kami Amanah ini dari dulu tidak boleh dengar dan patuh tanpa alasan yang kami faham, jadi kami tidak ikut.
“Sebab itu, dahulu mereka kata kami ini kuda tunggangan DAP, ikut DAP. Tidak begitu sebenarnya. Buktinya sekarang DAP tak sokong, kami sokong undi belah bahagi.
“Apabila berlaku semalam, mereka tuduh kami ikut Atok pula, ikut Tun Dr Mahathir.
“Padahal Tun Mahathir yang ikut cadangan dari Amanah iaitu Mahfuz,” katanya. – Malaysiapost

