Belanjawan: Kit Siang akui tak tahu keputusan saat akhir Anwar

0
2

TIDAK benar Ahli-Ahli Parlimen pembangkang telah tewas dengan desakan dan mengundi untuk menyokong Belanjawan 2021, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata memandangkan wakil rakyat pembangkang termasuk mereka yang berdiri memohon supaya belah bahagi dilakukan, semuanya telah mengundi membantah Belanjawan 2021.

Namun, katanya, undian dilakukan melalui suatu undian suara yang lantang mengatakan tidak kepada Belanjawan itu, bukannya melalui belah bahagi, di mana setiap Ahli Parlimen mencatatkan undian mereka sebagai bersetuju atau tidak.

Beliau berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) telah memutuskan pada 25 November 2020 secara sepakat untuk menolak Belanjawan 2021 dengan memanggil untuk mengadakan belah bahagi.

Maklumat itu, katanya, telah disampaikan kepada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan mereka memberikan jaminan sokongan daripada Ahli-Ahli Parlimen Pejuang dan Warisan.

“Saya tidak tahu langsung keputusan saat akhir Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim, yang memutuskan untuk tidak memanggil belah bahagi walaupun saya boleh meneka sebabnya.

“Pertamanya, nasihat Yang di Pertuan Agong kepada Ahli-Ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 ini, dan keduanya, ucapan penggulungan Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz, di mana beliau mengumumkan beberapa pemberian tambahan dalam Belanjawan.

“Ia belum melepasi perbahasan di Peringkat Jawatankuasa sebelum Belanjawan 2021 ini dibacakan dan diundi buat kali ketiga pada 15 Disember,” katanya.

Selain itu, Kit Siang berkata, jelas bahawa tidak ada cukup bilangan untuk Belanjawan 2021 ini dikalahkan memandangkan Ahli-ahli Parlimen Umno telah menarik semula bantahan mereka dan bersedia untuk memberi sokongan penuh.

Namun, tegasnya, perkara itu tidak pernah menjadi faktor kepada Ahli-Ahli Parlimen DAP dan PH untuk memutuskan sama ada memanggil belah bahagi atau tidak dalam undian tersebut.

“Memandangkan Agong telah menasihati Ahli Parlimen untuk menyokong Belanjawan 2021 kerana situasi semasa Covid-19, menjadi lebih penting kepada pembangkang memberi Menteri Kewangan lebih banyak masa sehingga Bacaan Ketiga RUU Perbekalan ini pada 15 Disember ini.

“Ini untuk membuat perubahan dan pindaan berpatutan bagi menjadikan Belanjawan 2021 satu “Belanjawan Perpaduan” yang menyatupadukan semua rakyat untuk harungi wabak Covid-19 ini.

“Atau, adakah beliau akan terus kekal untuk berdegil dan bersikap anti-perpaduan dengan tidak meminda Belanjawan ini?,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here