Rayu ahli parlimen sepakat lulus Belanjawan 2021 demi rakyat, negara

0
1

KESEPAKATAN dan kemuafakatan semua Ahli Parlimen amat diperlukan hari ini bagi memastikan Belanjawan 2021 dapat diluluskan demi rakyat dan pembangunan negara.

Ketua Pemuda Pas, Ir Khairi Nizam Khairuddin, berkata Belanjawan 2021 amat penting kepada rakyat dan pembangunan negara bagi menghadapi krisis pandemik Covid-19 yang begitu kritikal dalam sejarah dunia.

“Oleh yang demikian, kami merayu kepada kesemua Ahli Parlimen agar Belanjawan 2021 dapat diluluskan supaya kita sama-sama dapat memacu bersama untuk berhadapan dengan krisis ini.

“Selain meletakkan rakyat sebagai keutamaan, bukannya sengketa politik yang tidak berkesudahan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Rang Undang-undang itu memerlukan kepada kelulusan majoriti Ahli Parlimen di Dewan Rakyat pada hari ini dan ia adalah kemuncak kepada pengawalan konflik dan krisis negara.

“Ya, hari ini adalah pengundian di Dewan Rakyat bagi Akta Perbekalan yang membawa kepada kelulusan belanjawan Negara sepanjang tahun hadapan.

“Justeru, Pindaan yang dipohon dalam perbahasan Ahli Parlimen perlu diteliti oleh kerajaan agar Belanjawan Negara benar-benar memenuhi kehendak dan aspirasi rakyat,” katanya.

Beliau berkata, sekiranya akta ini tidak mampu mencapai kata sepakat, maka Negara dan Rakyat akan semakin tertekan dalam berhadapan dengan kesan pandemik Covid-19.

“Perpaduan akan tercapai sekiranya kita
berjiwa besar dan bertolak-ansur menerima perubahan demi kepentingan negara dan rakyat,” katanya.

Hari ini, pengundian untuk meluluskan Belanjawan 2021 pada peringkat dasar dijadual selepas penggulungan oleh Kementerian Kewangan menjadi tumpuan utama persidangan Dewan Rakyat.

Sekiranya masa mengizinkan, undian Rang Undang-undang Perbekalan 2021 akan dijalankan sejurus selepas baki sembilan menteri membuat penggulungan bagi kementerian masing-masing yang dijadual selesai hari ini. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here