Pengarang Malaysiapost
SELEPAS 11 hari melalui sesi perbahasan dengan pelbagai input, saranan, syarat, bantahan mahupun pertelingkahan, hari ini adalah hari penentuan sama ada Belanjawan 2021 diluluskan atau ditolak majoriti Ahli-Ahli Parlimen.
Hari ini juga penentuan sama ada Ahli-Ahli Parlimen akan akur titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menasihati ahli Dewan Rakyat supaya memberi sokongan padu kepada Belanjawan 2021.
Jika diamati reaksi pelbagai pihak, sama ada wakil rakyat parti kerajaan mahupun pembangkang sebaik dibentangkan 6 November lalu, kerajaan Perikatan Nasional (PN) nampaknya berdepan ranjau berduri untuk memastikan Belanjawan diluluskan.
Biarkanlah bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan tiga Ahli Parlimen Bebas daripada Pejuang menegaskan mereka tidak akan menyokong Belanjawan ini, tidak mengapa kerana mereka memang ‘musuh’ Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Namun, isyarat untuk tidak menyokong juga datang daripada Ahli Parlimen yang partinya sendiri bermuafakat membentuk kerajaan PN.
Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah telah menyatakan tidak akan mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat kerana mendakwa kesahihan kerajaan yang ada masih belum ditentukan.
Dengan itu, boleh ditafsirkan kerajaan PN bakal kehilangan satu undi.
Kita juga tahu Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak menegaskan sokongan Barisan Nasional (BN) terhadap Belanjawan adalah bersyarat.
Beliau mahu moratorium dilanjutkan secara automatik dan pengeluaran RM10,000 secara one-off daripada Akaun 1 KWSP, malah secara terbuka mengkritik kerajaan PN sehingga bertembung pendapat dengan beberapa penyokong kerajaan.
Menarik untuk disaksikan sama ada Najib, yang dilaporkan menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan mengundi untuk meluluskan Belanjawan atau sebaliknya.
Kurang 24 jam sebelum undian di Dewan Rakyat, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi mengulangi pendirian parti itu akan menyokong Belanjawan 2021 jika dua syarat utama yang dikemukakan sebelum ini dipenuhi.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata BN akan menyokong Belanjawan dengan meminta supaya soal moratorium dan pengeluaran Akaun 1 KWSP dapat dilaksanakan.
Parti Amanah pula telah menyatakan pendirian semua 11 Ahli Parlimennya menolak Belanjawan, menurut Presidennya, Mohamad Sabu.
Anwar, Ketua Pembangkang dan Pengerusi PH ketika menjadi individu pertama membahaskan Belanjawan 2021 pada 9 Nomvember lalu, mengakui mungkin tidak akan menyokong jika tiada pindaan dibuat.
Ahli Parlimen Port Dickson itu yang hanya kira-kira dua bulan lalu mendakwa mempunyai sokongan untuk menjatuhkan Muhyiddin, ketika perbahasannya menyifatkan Belanjawan 2021 mengelirukan dan meminggirkan beberapa kebimbangan rakyat, sekali gus menghadapi laluan sukar memperolehi sokongan majoriti di parlimen.
Malah, tegasnya, pandangan Ahli Parlimen pembangkang dalam pertemuan dengan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz sebelum pembentangan tidak diendahkan, termasuk moratorium pinjaman dan peruntukan bagi mencegah Covid-19.
Isu peruntukan RM85 juta kepada Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) juga nampaknya menjadi beban kerajaan, ia membuka ruang kepada pelbagai pihak untuk melancarkan serangan dari pelbagai sudut.
Tidak sah jika artikel ini tidak menyentuh mengenai DAP. Hampir setiap hari Lim Kit Siang menulis di Facebooknya berkenaan isu-isu Belanjawan sehingga serangan terhadap Najib nampak semakin perlahan.
Jadi mana mungkin 42 Ahli Parlimen parti itu menyokong Belanjawan.
Warisan dan UPKO pula selepas berhempas pulas dan ‘rela mati’ melawan PN dan BN sebelum tumbang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah dua bulan lalu, tentu tidak akan sesekali memberi talian hayat kepada kerajaan sedia ada.
Jadi segala-galanya akan terjawab hari ini. Undi menolak Belanjawan daripada hanya tiga atau empat Ahli Parlimen PN / BN akan menyebabkan bajet kali ini digagalkan.
Hari ini juga penentuan apa akan berlaku seterusnya, sama ada Parlimen digantung, darurat diisytiharkan, Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu atau Parlimen dibubarkan. – Malaysiapost

