Perincian program i-Sinar diumum minggu depan – KWSP

0
1

PERINCIAN program i-Sinar akan diumum minggu depan, susulan pengumuman Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini, kata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP berkata perincian itu merangkumi kriteria kelayakan ahli yang pendapatannya terkesan, termasuk mereka yang kehilangan pekerjaan atau mengalami pengurangan gaji.

“KWSP menjangka ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon bermula pertengahan Disember 2020, dengan pembayaran pertama sebulan selepas permohonan diluluskan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

i-Sinar adalah kemudahan tambahan kepada program bantuan kerajaan lain dan juga inisiatif-lain diperkenalkan KWSP ketika pandemik Covid-19 seperti pengurangan kadar berkanun syer pekerja, pengeluaran i-Lestari, dan Program Bantuan Majikan COVID-19 (e-CAP).

Terdahulu, Tengku Zafrul ketika penggulungan Belanjawan 2021 berkata Program i-Sinar KWSP akan diperluaskan kepada semua ahli yang terjejas dengan 8 juta pencarum bakal menerima manfaat.

Beliau berkata had pengeluaran i-Sinar juga dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM10,000 membabitkan peruntukan RM70 bilion.

“Tidak kira sama ada disebabkan hilang pekerjaan, ataupun telah terkurang pendapatan mereka tahun ini… ahli tersebut layak memohon untuk membuat pengeluaran dari Akaun 1.

“Tanpa mengira sama ada ahli tersebut pekerja sektor formal atau bekerja sendiri, tanpa mengira ahli aktif mencarum atau tidak selagi terjejas pendapatan dengan ketara bolehlah mengeluarkan simpanan dari Akaun 1 KWSP,” katanya.

Katanya, golongan terjejas boleh membuat permohonan melalui dalam talian atau ke pejabat KWSP terdekat.

Selain itu, beliau berkata pemohon hanya perlu menunjukkan bukti kehilangan pekerjaan, notis cuti tanpa gaji, potongan gaji, elaun atau OT mahupun pengurangan pendapatan jika bekerja sendiri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here