Nurul Huda Abhar
INI satu manfaat besar yang sangat dinantikan oleh rakyat, tidak mengira mereka kumpulan B40 atau M40, ujar Ketua Puteri Umno, Zahida Zarik Khan.
Kenyataan beliau merujuk usul memperluas skop pengeluaran i-Sinar akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua pencarum dengan jumlah maksimum RM10,000 diterima kerajaan.
Dalam masa sama, kerajaan memberi moratorium automatik kepada semua peminjam bank buat golongan B40, PKS Mikro dan M40 yang terkesan akibat Covid-19.
Menurut Zahida, kejayaan tersebut adalah tanda kepimpinan Barisan Nasional (BN) terus prihatin dan cakna pada kesusahan yang ditanggung rakyat.
“Syabas kepada kepimpinan BN, Ahli-ahli Parlimen BN dan para penyokong yang secara konsisten perjuangkan nasib rakyat di musim krisis ini.
“Manfaatkan lah simpanan KWSP kalian demi kebaikan keluarga dan ekonomi negara. Manfaatkan lah juga lebihan wang selepas menerima moratorium daripada pihak bank,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, usul Belanjawan 2021 dibentangkan Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada 6 November lalu lulus dalam undian di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun mengumumkan keputusan itu, selepas sesi penggulungan perbahasan Belanjawan 2021 hari ini.
Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 dibentangkan untuk bacaan kali kedua oleh Menteri Kewangan itu selama sejam yang kemudiannya disokong semua Ahli Parlimen kerajaan.
Kelulusan RUU berkenaan akan membolehkan kerajaan menggunakan dana di bawah Kumpulan Wang Disatukan untuk tujuan perbelanjaan negara bagi tahun depan. – Malaysiapost

