Nurul Huda Abhar
SATU pasukan khas atau ‘task force’ telah diwujudkan bagi menyelaras gerak kerja melibatkan proses saringan, kuarantin dan penutupan kilang pengeluar sarung tangan, Top Glove di Klang.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pasukan khas itu dianggotai Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Pejabat Daerah Klang, Majlis Perbandaran Klang dan polis.
“Secara keseluruhan kilang ini mempunyai 11,215 pekerja. Sehingga 24 November sebanyak 5,795 ujian saringan telah dilakukan dan 2,684 kes positif di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) direkodkan.
“Sehingga semalam daripada 28 kilang tersebut, 20 telah ditutup manakala hari ini tujuh lagi ditutup dan tinggal satu lagi akan menyusul dalam waktu terdekat,” katanya dalam sidang media hari ini.
Ismail Sabri berkata, bagi mengelak penularan di kawasan komuniti, pihak kilang telah diarah menjalankan saringan terhadap 2,263 pekerja yang tinggal di luar kawasan PKPD dan akan dikuarantin.
Tambahnya, penduduk di kawasan sekitar tidak perlu bimbang kerana semua penduduk dan pekerja yang berkaitan dengan Top Glove disaring dan dikuarantin.
“Jika ternampak pekerja warga asing yang berkeliaran di kawasan tersebut, mungkin itu bukan pekerja Top Glove tapi dari kilang lain,” ujarnya. – Malaysiapost

