
Nurul Huda Abhar
AHLI Parlimen Backbenchers Perikatan Nasional (PN) sebulat suara menyatakan sokongan padu untuk mengundi bagi meluluskan Belanjawan 2021 yang akan berlangsung esok.
Menerusi kenyataan yang dikeluarkan, gabungan tersebut adalah terdiri daripada Barisan Nasional (BN), Bersatu, PAS, Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Bebas.
“Keputusan yang dibuat ini adalah merupakan keputusan secara kolektif kesemua Ahli Parlimen PN yang berjiwa besar dengan mengenepikan segala perbezaan demi memastikan kelangsungan dan kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi.
“Keutamaan kami adalah menghadapi krisis pandemik Covid-19 demi kesejahteraan rakyat.
“Kami juga akan memberi komitmen, sokongan dan kepercayaan penuh terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Pagoh sebagai Perdana Menteri,” kata kenyataan itu, hari ini.
Pengerusi Backbenchers PN, Datuk Seri Shahidan Kassim sebelum ini membuat kenyataan bahawa sesiapa sahaja Ahli Parlimen akan dianggap pengkhianat sekiranya menolak Belanjawan 2021.
Menurutnya, belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Datuk Tengku Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz adalah yang dinanti-nantikan terutama kepada rakyat yang kehilangan pekerjaan semasa negara dilanda Covid-19. – Malaysiapost
Foto Kredit: NSTP
