SETELAH 30 tahun memerah kudrat di gelanggang, ahli gusti popular, The Undertaker akhirnya mengumumkan keputusan untuk bersara, lapor portal Daily Star, semalam.
Ahli gusti yang juga dikenali dengan gelaran ‘The Deadman’ itu akan membuat penampilan selamat tinggal hujung minggu ini menerusi Survivor Series sebelum bersara.
“Dalam minda saya, ya saya sudah 100 peratus muktamad. Saya sudah berusaha untuk menerimanya dan kini berasa tenang (dengan keputusan bersara).
“Saya masih ada minat dan mencintainya (sukan gusti). Dan secara fizikal, jika mampu meneruskan buat selama-lamanya, saya akan lakukannya. Namun, kamu tidak boleh terlepas dari masa,” katanya kepada saluran sukan ESPN.
Beliau juga mengakui tidak dapat lagi memenuhi harapan pembeli tiket untuk melihatnya beraksi dengan sempurna lantaran dirinya yang semakin dimamah usia.
Undertaker atau nama sebenarnya Mark Calaway mahu meluangkan lebih banyak masa bersama isteri, Michelle McCool.
Menurut Sportskeeda, Calaway menerima bayaran AS$17 juta (RM70 juta) daripada Hiburan Gusti Sedunia ( WWE) pada 2020 dengan muncul di skrin televisyen sebanyak 10 kali.
Beberapa laporan mendakwa, dia juga menerima bayaran tambahan kira-kira AS$5 juta (RM20 juta) untuk program televisyen lain, menjadikan jumlah terkumpul perolehan ialah AS$22 juta (RM90 juta) bagi tahun ini.
Calaway juga ada pelaburan portfolio dan hartanah terkumpul bernilai AS$2.7 juta (RM11 juta). -Malaysiapost
Foto Kredit: Wrestling News

