Muhammad Mustakim Ramli
AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan beliau hanya akan ke Dewan Rakyat sekiranya dibenarkan.
Katanya, dakwaan yang mengatakan beliau akan hadir menyertai perbahasan dan pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Khamis ini hanyalah khabar angin bersifat fitnah.
“Saya masih di Sabah. Esok pun saya masih perlu menghadiri mesyuarat kabinet Negeri Sabah.
“Jika ada perubahan SOP (prosedur operasi standard) oleh MKN (Majlis Keselamatan Negara) dan membenarkan saya ke Dewan Rakyat, saya akan pergi esok,” katanya ketika dihubungi Malaysiapost.
Sementara itu ditanya mengenai Ahli Parlimen Keningau Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang turut dikaitkan ke Dewan Rakyat tanpa kuarantin, Bung berkata Jeffrey sudah lama berada di Kuala Lumpur.
“Dia sudah lama di Kuala Lumpur… tidak balik ke Sabah. Jadi tidak perlu untuk kuarantin,” katanya.
Terdahulu, Malaysiapost melaporkan dua Ahli Parlimen dari Sabah dikhabarkan ‘terbang’ ke Kuala Lumpur bagi menyertai perbahasan dan pengundian Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat, Khamis ini.
Menurut sumber, kedua-dua Ahli Parlimen yang dibenarkan ke Dewan Rakyat itu ialah Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Keningau) dan Datuk Seri Bung Moktar Radin (Kinabatangan).
“Jeffrey sudah berada di Kuala Lumpur sejak semalam, di mana beliau selamat mendarat petang semalam.
“Manakala Bung masih di Sabah dan beliau dijadualkan menaiki ‘flight’ ke Kuala Lumpur petang ini.
“Sekiranya Jeffrey selamat untuk ke Kuala Lumpur sudah tentu Bung juga tidak bermasalah,” katanya kepada Malaysiapost.
Kehadiran kedua-dua mereka di Parlimen Khamis ini pastinya menimbulkan ketegangan susulan individu dari Sabah perlu menjalani kuarantin selama 14 hari. -Malaysiapost

