Fitri Nizam
[PARLIMEN] KERAJAAN kini sedang memperhalusi lanjutan moratorium pinjaman secara bersasar berikutan kelembapan ekonomi dan krisis kesihatan berterusan.
Menteri Sumber Manusia, M Saravanan, berkata walaupun dunia berdepan keadaan ekonomi suram akibat pandemik Covid-19, terdapat beberapa sektor yang masih menunjukkan prestasi baik.
Bagaimanapun, beliau berkata, lanjutan itu dijangka tidak diberikan kepada semua sektor kerana terdapat sektor yang masih stabil.
“Justeru, kerajaan menerusi Kementerian Kewangan sedang mengkaji dan memperhalusi pendekatan baharu,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Saravanan berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) mengenai langkah kerajaan membantu pekerja diberhentikan, jika moratorium pinjaman tidak dilanjutkan.
Khamis lalu, Timbalan Menteri Kewangan I, Datuk Abd Rahim Bakri dilaporkan berkata, sebanyak 650,000 permohonan bagi moratorium bersasar diterima dengan kadar kelulusan tinggi 98% sejak 1 Oktober lalu.
Katanya, daripada jumlah permohonan yang diluluskan itu, 40% membabitkan lanjutan moratorium.
Terdapat gesaan untuk institusi kewangan memberi lanjutan moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan sejak April hingga September lalu.
Sejak itu, kerajaan mengumumkan moratorium pinjaman bersasar, termasuk lanjutan untuk sektor tertentu dalam Belanjawan 2021.
Tetapi, ahli politik dari kedua-dua pihak menggesa moratorium pinjaman dilanjutkan enam bulan lagi secara automatik kerana bank sudah mengaut keuntungan banyak selama bertahun-tahun dan mampu bertahan dengan memberikan lanjutan itu. -Malaysiapost

