MP Keningau diusul ke Jawatakuasa Hak dan Kebebasan

0
2

Fitri Nizam

[PARLIMEN] AHLI Parlimen Kota Kinabalu, Chan Foong Hin mengusulkan supaya Datuk Dr Jeffrey Kitingan (Star-Keningau) dibawa ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.

Dalam surat usul yang dilihat Malaysiapost, Foong Hin berkata, Jeffrey hadiri ke Dewan Rakyat hari ini walaupun dilaporkan menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada 12 November lalu.

Justeru, beliau berkata, tindakan itu merupakan pengingkaran arahan Setiausaha Dewan Rakyat bertarikh 9 Oktober, mewajibkan semua Ahli Parlimen dari Sabah menjalani tempoh kuarantin 14 hari jika pulang dari negeri berkenaan.

“Dewan yang mulia ini memandang serius perbuatan Yang Berhormat Keningau yang menghadiri Dewan Rakyat walaupun beliau belum menghabiskan tempoh kuarantin selama 14 hari dan mendedahkan semua Ahli Parlimen kepada risiko jangkitan Covid-19.

“Maka ia dipersetujui bahawa Yang Berhormat Keningau hendaklah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan di atas perbuatan yang boleh dianggap sebagai menghina Majlis,” katanya.

Surat itu dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.

Kehadiran Jeffrey Kitingan di Dewan Rakyat tanpa menjalani kuarantin 14 hari, menghangatkan keadaan apabila ia dipersoalkan kem pembangkang.

Perkara itu dibangkitkan Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil (PH – Lembah Pantai) yang menyatakan terdapat Ahli Parlimen dari Sabah hadir ke Dewan Rakyat.

Justeru, beliau meminta Timbalan Yang di-Pertua, Datuk Seri Azalina Othman untuk mengambil tindakan berikutan terdapat arahan Ahli Parlimen dari Sabah untuk menjalani kuarantin 14 hari sekiranya pulang ke negeri terbabit.

Sementara itu, Azhar berkata, beliau telah meminta Jeffrey untuk meninggalkan Dewan Rakyat hari ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here