Aktivis kesal dituduh tuntut RM2,000 urus jenazah pesakit Covid-19

0
2

TATKALA sekumpulan individu bertungkus lumus membantu menguruskan jenazah pesakit Covid-19, datang kata-kata kurang enak yang menuduh mereka mengambil kesempatan atas kesedihan waris si mati.

Ini termasuk kenyataan bahawa mereka sanggup mengenakan bayaran tinggi RM2,000 untuk proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 di Sandakan, Sabah.

Individu dikenali sebagai Abam Botak, aktivis aktif di daerah itu menyangkal dakwaan kumpulannya mengenakan bayaran kepada waris.

“Sebaik mengetahui perkara itu memang saya terkejut dan terkilan. Tiba-tiba ada yang tuduh kita ambil duit sedangkan kita sanggup bahayakan diri dan berpanas pakai pakaian pelindung diri (PPE)

“Dakwaan itu tidak benar dan agak keterlaluan. Saya tidak ada menerima atau mengambil wang sedikit pun daripada waris.

“Inilah kerja orang tengah yang cuba ambil kesempatan atas kesedihan waris,” katanya seperti dilaporkan mStar, hari ini.

Amam Botak atau nama sebenar Yunizam Yusop menegaskan mereka menyediakan perkhidmatan pengurusan jenazah secara percuma kepada sesiapa yang memerlukan.

Katanya, masyarakat di daerah itu tahu kumpulannya menyediakan perkhidmatan tersebut sebelum berlakunya penularan wabak Covid-19.

“Semua kami urus percuna daripada proses tayamum, kafan, pengangkutan dan bacaan tahlil di tanah perkuburan.

“Begitu juga kematian melibatkan pesakit Covid-19, sama ada mereka rakyat Malaysia atau sebaliknya, tiada bayaran sesen pun dikenakan kepada waris. Kami hanya minta waris sediakan tanah perkuburan saja,” ujarnya.

Oleh itu, beliau menggesa orang ramai tidak terpedaya dengan modus operandi pihak yang sengaja ingin mengambil kesempatan.

“Sekiranya terdapat pihak yang kenakan bayaran terhadap pihak waris, buat laporan polis dengan segera. Saya serahkan pada polis untuk siasat perkata ini.

“Saya ingin menasihatkan orang ramai tidak meyebarkan berita, cerita ataupun maklumat tidak sahih agar tidak timbul kekeliruan masyarakat,” katanya.

Tular di laman sosial Facebook gambar-gambar kumpulan itu menguruskan pengebumian jenazah sambil mengenakan PPE dan rata-rata netizen mengucapkan terima kasih atas usaha mereka itu.

Tambahnya, beliau mengakui proses pengebumian jenazah pesakit Covid-19 amat mencabar kerana jika berlaku sebarang kesilapan, risiko dijangkiti amat tinggi.

“Walaupun bentuk muka bumi di Sabah berbeza, ada tanah perkuburan di atas bukit, niat kami hanya satu, selesaikan jenazah dengan segera,” katanya lagi.

Abam Botak berkata, pihaknya juga mengambil video dan gambar jenazah untuk simpanan waris keluarga.

Katanya, beliau memahami perasaan keluarga yang tidak dapat turut bersama menguruskan jenazah oleh kerana Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat.

“Jadi sebagai tatapan waris kami sediakan video dari A to Z secara percuma. Idea itu timbul sebab pernah sekali waris merayu minta ambil gambar dan video kerana sudah lama tidak bertemu arwah.

“Kami akan buat ikut permintaan waris. Alhamdulillah semua mahu. Jadi bila saya ‘post’ di media sosial, satu saya suka..orang ramai akan mendoakan kesejahteraan arwah,” ujarnya. – Malaysiapost

Foto Kredit: Facebook/@Abam Botak

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here