PEMIMPIN dan ahli Umno diingatkan bahawa musuh yang nyata bagi parti itu adalah Pakatan Harapan (PH) dan bukan saling ‘menyerang’ sesama sendiri di media sosial.
Ketua Umno Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah berkata kebelakangan ini pemimpin Umno kembali saling menyerang di media sosial dan di lapangan.
Katanya, ia perkara yang tidak baik buat Umno jika keadaan tersebut berpanjangan.
“Selaku pemimpin muda dalam Umno, saya mengambil pendekatan untuk mengingatkan antara satu sama lain musuh utama dan nyata kita Iaitu PH terutama DAP.
“Sudahkah kita lupa selama 22 bulan PH jadi kerajaan apa yang kita lalui? Bantuan rakyat dan penjawat awam dikurangkan, subsidi rakyat untuk nelayan, petani, peladang, mahasiswa dan mahasiswi, pelajar, tentera, polis, pofesional dan pelbagai lagi golongan dikurangkan, malah ada yang dimansuhkan.
“Sudahkah kita lupa gerakan mereka di peringkat antarabangsa melalui Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), sudahkah lupa bantuan e-Wallet RM30 dan banyak lagi,” katanya menerusi kenyataan.
Bagaimanapun Armand Azha yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno berkata, apa yang menyedihkan kini apabila serangan dalaman parti pula semakin rancak.
“Tanpa kita sedar ini hanya akan merugikan parti kita. Rakyat sedang menilai parti kita. Jika masih dengan budaya tidak sihat ini, PRU15 saya risau sekali lagi rakyat akan hukum kita.
“Allah SWT berikan peluang kedua kepada kita agar perbaiki kelemahan parti, jika kita tidak bersyukur pada nikmat yang Allah SWT beri, saya risau Allah SWT akan tarik nikmat yang diberikan.
“Saya dengan rendah diri mohon pada semua kepimpinan, ahli dan pendokong parti untuk hentikan serangan dalaman dan fokus pada musuh utama kita iaitu PH,” katanya. – Malaysiapost

