Fitri Nizam
JIKA rasuah lebih teruk, adakah kesalahan lain yang dianggap kurang teruk perlu dibiarkan berleluasa, soal pendakwah bebas, Ustaz Engku Ahmad Fadzil.
Persoalan itu diajukannya kepada Presiden Persatuan Patriot Kebangsaan, Datuk Mohamed Arshad Raji.
Engku Ahmad berkata, jika benar apa yang diperkatakan oleh Patriot, jadi bagaimana dengan kesalahan seperti mencuri, langgar lampu isyarat merah, meletakkan kenderaan di kawasan tidak dibenarkan, tidak memakai pelitup muka mahu pun penjarakan fizikal.
“Tak payah larang… semua itu biarkan saja, tak payah ambil apa-apa tindakan kerana rasuah lebih teruk.
“Adakah melarang penjualan arak di kedai-kedai runcit bererti menghalalkan rasuah,” soalnya lagi dalam hantaran di Facebook hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Mohamed Arshad yang berkata kesalahan rasuah lebih teruk daripada larangan meminum arak.
Engku Ahmad juga turut melontarkan persoalan sama ada Patriot dibayar atau dibela oleh mana-mana pihak.
“Memang saya tertanya-tanya, adakah patriot (parrot?) ini dah kena bayar atau bela dengan sesiapa ya?
“Lain macam punya tak bersambung cara dia berfikir (atau lebih tepat, tidak berfikir),” katanya.
Mohamed Arshad menerusi kenyataan pagi membidas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Ahmad Marzuk Shaary berhubung kemungkinan memperluas larangan penjualan arak di kedai runcit dan serbaneka ke seluruh negara.
Malah beliau meminta Ahmad Marzuk dan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa sebaliknya lebih fokus menangani masalah rasuah. – Malaysiapost

