Nilam Oshman
PEMUDA Perikatan Nasional (PN) Wilayah Persekutuan hari ini membuat laporan polis terhadap pengarah dan pemuzik kontroversi, Namewee kerana menghina bangsa Melayu melalui poster filemnya, bertajuk ‘Babi’.

Ketua Penerangannya, Muhammad Azwan Azmi berkata, kebiadapan Namawee itu boleh mencetuskan isu perkauman terutama terhadap orang Melayu.
“Hari ini saya membuat satu laporan polis terhadap Namawee yang jelas dan terang melalui poster filemnya yang bertajuk ‘babi telah menghina orang Melayu dengan tertulis perkataan ‘babi Melayu, bodoh babi’.
“Ini adalah penghinaan kurang ajar dan tidak boleh diterima. Apa yang digambarkan oleh poster berkenaan boleh mencetuskan kemarahan kaum kalau dibiar tanpa sebarang tindakan oleh polis.
“Ini bukan kali pertama dia buat hal, banyak kali dah. Adakah dia nak buat provoksi terhadap orang Melayu. Orang Melayu tak pernah kacau dia tetapi kenapa dia kacau orang Melayu. Apa masalah orang Melayu.
“Walaupun dia kata filem ini berkisah benar tapi banyak lagi cara nak promosikan filem,” katanya ketika ditemui media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Tambahnya, di dalam poster itu juga tertera ayat hinaan India Keling dan Cina Babi secara tak langsung akan menimbulkan ketegangan kaum.
Sehubungan itu, beliau berharap Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyekat kandungan filem tersebut dari diakses orang ramai serta Facebook milik Namawee juga perlu disekat.
Beliau turut berharap tindakan dan siasatan terperinci serta tegas dilakukan ke atasnya yang bukan kali pertama menghina dan melakukan provokasi bangsa dan kaum.
Tambah Muhammad Azwan, Namawee tidak seharusnya diberi ruang dan peluang kerana menyebarkan pengaruh negatif khususnya menerusi laman sosial yang dibimbangi mencetuskan perbalahan kaum di Malaysia. – Malaysiapost

