GARIS panduan baharu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengenai larangan penjualan dan penggunaan alkohol di kedai serbaneka dan runcit di Kuala Lumpur adalah langkah tepat.
Ketua Pemuda Umno Wilayah PersekutuanMohamed Nizham Abdullah Hamidi, berkata sesi libat urus perlu dilakukan agar masyarakat dan pemilik perniagaan dapat memahami kewajaran penguatkuasaan dasar berkenaan.
“Dasar ini diharapkan bukan sahaja dapat mencegah lebih banyak kes pemandu mabuk, tetapi mengurangkan masalah keganasan rumah tangga akibat pengambilan alkohol.
“Penyalahgunaan alkohol membawa kepada peningkatan bahaya sosial dan selalunya ia melibatkan kemalangan kenderaan, keganasan rumah tangga dan juga gangguan sosial,” katanya di Facebook, hari ini.
Beliau berkata, keputusan DBKL itu pastinya memberikan kesan kepada pemain industri, namun perlu diingatkan ada masalah yang lebih besar harus ditangani membabitkan pengambilan alkohol.
“Semua pihak yang berkepentingan dalam industri alkohol harus bertanggungjawab. Tidak ada yang hanya boleh menutup mata dan menjana wang dari industri ini.
“Kami ingin mendengar jalan keluar (penyelesaian) dan cadangan dasar alternatif, tetapi sayangnya beberapa Ahli Parlimen di KL, hanyalah mengeluh dan membangkang,” katanya.
Belia berkata, hakikatnya dasar baru ini tidak menghentikan hak orang bukan Islam untuk meminum alkohol, sebaliknya yang dikawal adalah penjualan alkohol.
“Kita memerlukan rakyat Malaysia lebih bertanggungjawab semasa mengambil alkohol dan kita yakin dasar ini langkah permulaan yang baik untuk menguruskan penggunaan alkohol,” katanya.
Terdahulu, DBKL menetapkan kedai runcit, serbaneka dan kedai menjual ubat tradisional Cina sekitar Kuala Lumpur tidak dibenarkan menjual minuman alkohol bermula 1 Oktober 2021.
Penguatkuasaan itu bakal dilaksanakan selepas DBKL memuktamadkan Garis Panduan (GP) dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras baru-baru ini.
Bagaimanapun, keputusan itu dibantah DAP Wilayah Persekutuan yang bertindak mengumpul bantahan daripada pihak berkepentingan yang terjejas dengan peraturan baru berkenaan. -Malaysiapost

