Pemuda PAS sokong DBKL perketat penjualan arak

0
1

Nilam Oshman

DEWAN Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong sepenuhnya tindakan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memperketatkan penjualan minuman keras melalui pelaksanaan Garis Panduan (GP) dan Syarat Permohonan Lesen Minuman Keras WPKL yang baharu.

Ketua Pemudanya, Mohammad Rashidi Abdul Razak, berkata langkah itu perlu dilaksanakan agar dapat mengawal ‘kemudah dapatan’ penjualan dan pengambilan minuman beralkohol, dalam masa sama kawalan keselamatan dan kesihatan warga kota juga dijaga.

Katanya, tindakan tersebut bertepatan dengan pelbagai usaha yang telah digembleng oleh ramai pihak bagi memastikan penjualan minuman keras diberikan perhatian khusus pihak berwajib.

“Langkah tegas ini sememangnya amat dinantikan oleh rakyat susulan peningkatan kes kemalangan berkaitan pemandu mabuk sejak kebelakangan ini.

“Berdasarkan garis panduan terbaharu ini, tiada lagi lesen baru akan dikeluarkan bagi kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai Ubat Cina bagi penjualan minuman keras berkuatkuasa 1 Oktober 2021 serta lesen sedia ada boleh diperbaharui sehingga 30 September 2021 sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, pihaknya turut menyeru Majlis Perwakilan Penduduk, jawatankuasa masjid dan surau untuk memantau iklan Notis Permohonan Lesen Menjual Minuman (Liqour Yang Memabukkan) oleh pemohon yang disiarkan dalam empat akhbar utama tempatan khususnya bagi premis yang berada di kawasan majoriti penduduk Muslim.

Mohammad Rashidi berkata, pihak berkenaan perlu bertindak proaktif dengan menyatakan suara bantahan sebelum lesen dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

Sementara itu, DPPWP juga berharap DBKL tidak berkompromi terhadap had penjualan masa khususnya di rumah awam kelas 1 serta rumah bir yang ditetapkan bermula jam 10 pagi sehingga jam 12 tengah malam.

Beliau berkata, ini kerana kebanyakan kes-kes kemalangan yang melibatkan pemandu mabuk berlaku dalam tempoh masa tersebut.

“Sewajarnya ketetapan had masa jualan itu diteliti dengan mendalam kerana ia juga bakal mencetuskan kebimbangan masyarakat awam jika tidak ditangani dengan efisyen,” tegasnya.

Beliau berkata, DPPWP juga ingin menzahirkan penghargaan atas keberanian DBKL menangani isu pemberian lesen minuman keras khususnya di Wilayah Persekutuan.

“Garis panduan ini telah disemak dan dibuat penambahbaikan melalui perbincangan bersama dengan agensi-agensi berkaitan seperti Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Polis DiRaja Malaysia, Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan, pihak berkepentingan dan NGO,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, sewajarnya Pihak Berkuasa Tempatan lain mengambil inisiatif sama membendung kebejatan implikasi minuman keras terhadap masyarakat di negara ini.

Semalam, DBKL mengumumkan kssemua kedai runcit, kedai serbaneka dan ubat tradisional Cina tidak dibenarkan menjual arak kecuali bagi tujuan ubatan tradisional bermula Oktober 2021.- Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here