[PARLIMEN] KERAJAN harus memberi penjelasan terhadap tindakan yang perlu diambil terhadap golongan antivaksin kerana dilihat cuba mempengaruhi rakyat menolak vaksin Covid-19.
Ahli Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) berkata, usaha kerajaan memperuntukkan kos yang besar bagi mendapatkan vaksin Covid-19 akan terganggu sekiranya golongan aktivaksin berjaya mempengaruhi orang ramai tentang fahaman mereka.
“Apa yang menjadi kegusaran saya ialah belum pun lagi vaksin ini diperolehi, wujud gerakan golongan antivaksin yang cuba mempengaruhi rakyat untuk menolak vaksin ini.
“Apakah keadaan yang akan dilaksanakan oleh kementerian dalam membanteras fahaman golongan antivaksi yang cuba mempengaruhi orang ramai daripada menerima vaksin?
“Serta apa tindakan tegas yang akan dikenakan kepada golongan antivaksi yang cuba memberi fahaman salah mengenai vaksin?” katanya ketika sesi perbahasan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.
Semalam, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin memaklumkan bahawa kerajaan telah berkomunikasi dengan 10 pengeluar vaksin Covid-19 melibatkan lapan pengeluar yang dihubungi secara terus, manakala dua lagi melalui Fasiliti Akses Global Vaksin Covid-19 (Covax).
Menurut beliau, terdapat beberapa rundingan yang berada pada fasa akhir dan pengumuman rasmi akan dibuat apabila perjanjian dimeterai tidak lama lagi.
Ia susulan makluman Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa terdapat 11 calon vaksin Covid-19 yang berada pada peringkat ujian klinikal fasa 3 setakat 13 November lepas.
Gerakan antivaksin adalah mereka yang menolak untuk menerima, menggunakan vaksin dan menyebarkan pendapat dan fahaman mereka di media sosial dengan menekankan kandungan vaksin tersebut mengandungi bahan-bahan yang tidak selamat
Malah, mereka juga mendakwa vaksin akan menyebabkan pengguna akan menerima pelbagai penyakit lain termasuk masalah kulit dan saraf. -Malaysiapost

