KERAJAAN mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di asrama pekerja syarikat sarung tangan Top Glove, di Klang, Selangor, bermula tengah malam ini.

Pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan terpaksa dilaksanakan selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan sebanyak 215 kes positif Covid-19.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan PKPD di kawasan Jalan Abadi, Klang, itu akan membabitkan 13,190 pekerja yang tinggal di asrama lelaki dan wanita.
“PKPD ini akan bermula jam 12 tengah malam ini (17 November) sehingga 30 November ini bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan kepada semua penghuni asrama dan penduduk.
“Pelaksanaan PKPD ini membabitkan kawasan asrama lelaki di Jalan Abadi 1A/KU8, asrama wanita di Jalan Abadi 1A/KU8 dan Jalan Abadi 10A/KU8,” katanya dalam sidang media hari ini.
Beliau berkata, PKPD itu turut membabitkan 1,200 penduduk di kawasan berhampiran.
-Malaysiapost

