Akibat lalok, wanita hiris kemaluan kawan lelaki

0
1

PADAH terlebih khayal, seorang lelaki cedera pada kemaluan dipercayai dihiris rakan wanitanya selepas mereka mengambil dadah di Pasar Bandar Baru Farlim, Pulau Pinang, semalam.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, polis menerima panggilan daripada mangsa jam 7.55 pagi yang memaklumkan kemaluannya cedera.

Beliau berkata, siasatan mendapati suspek yang berusia 38 tahun itu pergi ke pejabat mangsa yang terletak berdekatan pasar tersebut pada jam 6.30 pagi.

“Mereka kemudiannya mengambil dadah dan berada dalam keadaan khayal. Akibat terlalu khayal, mangsa kemudiannya tidak sedarkan diri.

“Bagaimanapun, mangsa menyedari kemaluannya cedera dan berdarah dipercayai dihiris selepas sedar daripada khayal manakala suspek menghilangkan diri,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Katanya, mangsa dipercayai dicederakan menggunakan objek tajam, namun pemeriksaan mendapati kecederaan dialami tidak serius dan kini dirawat di hospital.

“Semakan mendapati, mangsa mempunyai rekod psikiatri di Hospital Pulau Pinang. Beberapa barang kes termasuk sebilah gunting dipercayai digunakan untuk mencederakan mangsa kita rampas.

“Suspek yang belum berkahwin ditahan di Paya Terubong, Air Itam pada jam 9 pagi semalam dan dia didapati positif methamphetamine serta mempunyai tiga rekod jenayah lampau,” katanya.

Soffian berkata, kes itu disiasat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata. -Malaysiapost