PKPD Haji Baki, Kuching ditamatkan hari ini

0
2

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Haji Baki, Kuching yang dilanjutkan sehingga 24 November, ditamatkan hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelanjutan PKPD berkenaan bermula 28 Oktober sehingga 10 November 2020 dan kemudian dilanjut lagi sehingga 24 November atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM).

“Ia disebabkan masih terdapat banyak keputusan ujian makmal yang masih belum diperolehi pada ketika itu,” katanya dalam sidang media hari ini.

Bagaimanapun, katanya, sehingga semalam kesemua keputusan ujian saringan makmal telah diperolehi dan tiada lagi kes positif baru dikesan sejak tujuh hari lalu.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kampung Haji Baki, Kuching pada hari ini, iaitu lebih awal dari yang dijadualkan,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri mengumumkan PKPB di Labuan dilanjutkan bermula esok sehingga 6 Disember ini.
 
Katanya, sehingga semalam, terdapat pertambahan 35 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di Labuan adalah 1,135 kes.  
 
“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPB Labuan bermula 14 November 2020 sehingga 6 Disember 2020,” katanya. – Malaysiapost