PIHAK berkuasa akan meningkatkan sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan di kawasan perumahan sempena Deepavali yang akan disambut penganut agama Hindu esok.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan upacara sembahyang di kuil, hanya 30 orang ditetapkan dalam satu-satu masa.
Katanya, ia mengikut keluasan kuil dengan mematuhi penjarakan fizikal dan upacara sembahyang dibahagikan kepada lima sesi bermula 7 pagi hingga 12 tengah hari
Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) dalam Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) untuk sambutan Deepavali hampir sama seperti perayaan lain sebelum ini.
“Penduduk dalam kawasan dikenakan PKPD tidak boleh keluar dari rumah dan sambutan hanya dalam ahli keluarga.
“Bagi negeri-negeri yang dikenakan PKPB, ingin saya ingatkan bahawa sambutan perlulah tidak melebihi 20 orang, pada satu-satu masa dalam kalangan ahli keluarga,” katanya dalam sidang media hari ini.
“Kita masih berperang dengan wabak Covid-19. Dalam kegembiraan menyambut Deepavali, jangan lupa sentiasa jaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat kita.
“Patuhi setiap SOP dan sentiasa amalkan kawalan kendiri,” katanya. – Malaysiapost

