Hikayat Puteri Gunung Ledang: Pemuda PAS pertahan Ahmad Fadhli

0
2

DEWAN Pemuda PAS mempertahankan perbahasan Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang menyifatkan sokongan bersyarat Barisan Nasional (BN) terhadap Belanjawan 2021 umpama ‘Hikayat Puteri Gunung Ledang’.

Ketua Penerangannya, Nazir Helmi berkata pelaksanaan lanjutan morotarium dan keputusan untuk mengeluarkan wang simpanan dari Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bukanlah sebahagian kandungan Belanjawan 2021 yang sedang dibahas di Dewan Rakyat.

Perkara itu, katanya, tidak melibatkan sebarang peruntukan dari kerajaan, malah keputusan pelaksanaannya boleh dibuat Jemaah Menteri tanpa perlu dibahas dan diluluskan di Parlimen.

“Justeru kami berasa hairan mengapa ada pihak yang mengugut untuk menarik sokongan kepada Belanjawan 2021 jika cadangan ini bukanlah sebahagian darinya?

“Atau adakah ia sekadar syarat Puteri Gunung Ledang seperti yang disebut Pasir Mas dalam perbahasan tadi?,” soalnya menerusi catatan di Facebooknya.

Semalam, Ahmad Fadhli berkata keputusan BN meletakkan syarat menyokong Belanjawan 2021 supaya kerajaan meluluskan pengeluaran Akaun 1, KWSP dan lanjutan automatik moratorium tindakan janggal.

Beliau menyifatkan sokongan bersyarat dinyatakan BN oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak umpama hikayat Puteri Gunung Ledang.

“Ia macam dalam hikayat Puteri Gunung Ledang yang mengenakan syarat membuat jambatan, hidangan nyamuk sekian-sekian namun bukan bertujuan untuk terima pinangan tetapi petanda tolak pinangan,” katanya.

Kelmarin, Najib ketika perbahasan Belanjawan 2021 berkata sokongan BN terhadap bajet itu adalah bersyarat dengan menuntut kerajaan membenar pengeluaran “one-off” hingga RM10,000 daripada Akaun 1 KWSP selain melanjutkan moratorium.

Ahli Parlimen Pekan itu turut berpandangan pindaan terhadap Rang Undang-undang Perbekalan 2021 wajar dilakukan, mengambil kira situasi luar biasa dihadapi negara ketika ini susulan pandemik Covid-19. – Malaysiapost