Nurul Huda Abhar
VETEREN Umno, Tan Sri Shahrir Samad bersetuju dengan cadangan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad supaya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) secara bersasar dilaksanakan di negeri itu.
Menurutnya, cadangan itu munasabah kerana hanya melibatkan kawasan zon merah yang mempunyai peningkatan kes jangkitan Covid-19.
“Cadangan Menteri Besar Johor supaya PKPB dibuat secara bersasar kepada daerah yang mempunyai bilangan kes sahaja cukup munasabah.
“Harap Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) timbangkan cadangan MKN Johor,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.
Semalam kerajaan Johor mengesyorkan PKPB yang bermula 9 November lalu dilaksanakan secara bersasar di negeri tersebut.
Menurut Hasni, cadangan itu diputuskan selepas beliau mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Iskandar, Johor Bahru.
“PKPB seharusnya hanya dikuatkuasakan di kawasan atau daerah zon merah yang mempunyai jangkitan tinggi, dan bukannya di seluruh negeri seperti yang dilaksanakan sejak semalam (9 November),” katanya.
Tambahnya, perkara itu amat penting supaya pelaksanaannya tidak menjejaskan sektor ekonomi dan aktiviti harian rakyat di kawasan yang mempunyai jangkitan rendah. – Malaysiapost

