Pencemaran air: Exco Selangor dakwa rakyat dijadikan mangsa kerana sokong PH

0
2

RAKYAT Selangor dijadikan mangsa dalam isu pencemaran air kerana memilih Pakatan Harapan (PH), kata Exco Selangor, V Ganabatirau.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Sosio-ekonomi, Kebajikan Masyarakat dan Pemberdayaan Pekerja itu berkata pihak tidak bertanggungjawab mencari jalan untuk menanam kebencian rakyat terhadap kerajaan Selangor.

“Rakyat Selangor dimangsakan kerana memilih PH. Yang jahanam kini cari jalan untuk membuat rakyat benci. Yang jelas sabotaj demi sabotaj rakyat dapat menghidu.

“Efluen industri berwarna merah dimasukkan secara haram oleh pihak tidak bertanggungjawab ke dalam paip pembetungan dan menganggu tugas loji rawatan kumbahan IWK,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu, polis menahan empat individu termasuk seorang wanita di tiga lokasi susulan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor semalam.

Suspek berusia 33 hingga 43 tahun itu ditahan di Gombak, Damansara dan Kelana Jaya antara tengah malam tadi hingga awal pagi ini.

Pagi tadi, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) memaklumkan pihak berkuasa mengesan premis yang disyaki melakukan pembuangan efluen secara tidak sah ke lurang kumbahan yang seterusnya mencemari Loji Rawatan Kumbahan IWK Taman Volex, Rawang, lewat malam tadi.

Semalam, Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan insiden pencemaran bau di Sungai Selangor mungkin berpunca daripada rasa kurang senang pihak tertentu terhadap tindakan tegas kerajaan negeri dalam menangani isu berkenaan. – Malaysiapost