Kerajaan jangan ‘anak tirikan’ golongan M40

0
2

GOLONGAN M40 adalah kelompok yang telah dianak tirikan oleh kerajaan, kata Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarik Khan.

Beliau berkata, segala bantuan yang disediakan kerajaan adalah untuk kumpulan B40 dan kumpulan M40 tidak diambil kira atau terlepas pandang.

“Saya mendengar banyak pandangan dan rintihan rakyat daripada pelbagai latar belakang teridiri daripada B40, M40 termasuklah T20.

“Kumpulan M40 adalah kategori rakyat yang berpendapatan isi rumah diantara RM4,500 hingga RM10,500 sebulan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, 70 peratus daripada mereka terdiri daripada masyarakat Bumiputera dan mereka terdiri daripada 40 peratus isirumah di Malaysia.

“Purata kategori M40 ini membawa balik pendapatan sebanyak RM6,500 sebulan seisi rumah yang mempunyai kadar penghuni seramai empat hingga lima orang.

“Adakah pendapatan purata RM1,300 seorang itu kaya atau dikategorikan sebagai kelas pertengahan jika mereka tinggal di Kuala Lumpur?,” katanya.

Zahida berkata, dengan pandemik Covid 19 yang bermaharajalela sekarang ini dan ditambah dengan kesan PKPB kepada rakyat, beliau bimbang ramai di kalangan M40 ini telah jatuh kepada kategori B40.

“Dengan pendapatan purata RM6,500 sebulan, mereka juga telah termasuk didalam kategori pembayar-pembayar cukai pendapatan kepada kerajaan.

“Yang menyedihkannya, pengorbanan ini seakan tidak diambil kira didalam pembentangan Bajet 2021 pada Jumaat lepas,” katanya.

Beliau berkata, segala insentif dan pertolongan yang diumum oleh kerajaan adalah untuk mereka di dalam kategori B40.

“Kadar pembayaran cukai pendapatan langsung tidak disentuh, insentif-insentif dan bantuan kerajaan tidak diberi bagi kategori M40 ini.

“Perbelajaan terbanyak mereka adalah untuk pembiayaan kereta dan rumah,” katanya.

Beliau berkata, lanjutan kepada moratorium pembayaran balik untuk sewa beli kereta dan ansuran bulanan rumah tidak ditawarkan kepada semua di dalam bajet 2021.

Katanya, kumpulan M40 ini telah menjadi lebih teruk dengan komitmen mereka.

“Malah lebih menyedihkan, ada yang telah menjadi lebih teruk kedudukan mereka berbanding B40.

“Jadi, apakah langkah kerajaan untuk menangani masalah ini.

“Adakah lebih ramai akan jadi seperti kisah tular saudara Azrin Mohamad Zawawi bekas Juruterbang yang terpaksa berniaga selepas hilang kerjaya dan punca pendapatan?,” katanya.

Terdahulu, Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, golongan isi rumah berpendapatan pertengahan (M40) kurang diberi tumpuan dalam Belanjawan 2021,

Perkara itu dibangkitkan di Dewan Rakyat hari ini, dengan mengingatkan kerajaan bahawa telah ramai dalam kalangan M40 kini termasuk di dalam golongan isi rumah berpendapatan terendah B40.

Katanya, di saat krisis yang dihadapi sebesar ini, pada bila-bila masa sahaja mereka akan termasuk di dalam golongan B40. -Malaysiapost