Keputusan tutup sekolah tak ambil kira nasib pengusaha kantin – Anwar

0
2

Nurul Huda Abhar 

KEPUTUSAN kerajaan menutup penggal persekolahan lebih awal memberi impak kepada lebih 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara, kata Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Ketua Pembangkang itu berkata berkata beliau mengambil maklum keadaan pengusaha kantin yang terkesan berikutan pengumuman penutupan sesi persekolahan. 

“Saya ambil maklum mengenai lebih 10,000 pengusaha kantin di seluruh negara terkesan ekoran keputusan penutupan sekolah sehingga 17 Disember ini. 

“Ini dikhuatiri akan memaksa mereka untuk gulung tikar akibat ketidakmampuan menanggung bebanan kos operasi harian,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Anwar berkata, adalah mengecewakan  apabila kerajaan membuat keputusan untuk menutup sekolah tergesa-gesa tanpa mengambil kira nasib pengusaha kantin. 

Susulan itu, beliau menuntut penjelasan dan tindakan segera kerajaan, terutama Menteri Kanan (Pendidikan), Dr Mohd Radzi Md Jidin berhubung isu berkenaan. 

“Saya juga mendesak kerajaan untuk mempertimbangkan cadangan memberi geran bantuan dan lanjutkan kontrak perkhidmatan mereka. 

“Saya nasihatkan kerajaan untuk fikir dan teliti setiap aspek sebelum membuat keputusan yang akan mengesankan rakyat terbanyak, terutama ketika zaman getir seperti hari ini,” ujarnya lagi. 

Pada 8 November lalu, Kementerian Pendidikan memutuskan semua sekolah di seluruh negara ditutup bermula 9 November hingga ke hari akhir persekolahan tahun ini iaitu pada 17 dan 18 Disember, membabitkan lebih lima juta pelajar dan murid. – Malaysiapost