Isu royalti, Karyawan jumpa SPRM

0
2

PRESIDEN Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), Datuk Freddie Fernandez mengadakan pertemuan dengan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki pada hari ini bagi membincangkan isu berkaitan royalti pemuzik dan artis tanah air.

Karyawan dalam kenyataan kepada media berkata, dalam pertemuan selama lebih sejam itu, Freddie menyampaikan taklimat mengenai latar belakang kemelut tentang royalty persembahan awam yang sedang melanda industri muzik tanah air.

Menurutnya, isu itu bermula dengan pindaan Akta Hak Cipta 2000 yang memberikan hak kepada artis untuk mendapatkan bayaran royalti daripada persembahan mereka.

“Isu ini bermula pada 2001, apabila Public Performance Malaysia (PPM) yang sepatutnya membayar royalti artis dari kutipan mereka, sebaliknya menubuhkan syarikat Prism Sdn Bhd diketuai Datuk Aziz Bakar iaitu bekas ketua syarikat rakaman antarabangsa.”

“Selepas beberapa tahun tanpa sebarang tindakan, Prism Sdn Bhd akhirnya menandatangani perjanjian dengan PPM pada 2004 sebagai sebuah badan untuk memungut royalti bagi pihak Prism”.

“Bagaimanapun, hasilnya sangat mengecewakan apabila artis hanya menerima antara RM200 ke RM400 setahun hasil royalti, berbanding jutaan ringgit yang diperoleh syarikat rakaman di bawah naungan PPM,” katanya.

Pertemuan itu turut dihadiri Timbalan Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahya dan Pengarah Siasatan, Datuk Norazlan Mohd Razali.

Karyawan berkata, selepas menerima pelbagai aduan dari pihak artis, PPM akhirnya membatalkan kontraknya dengan Prism Sdn Bhd pada 2011 yang mengakibatkan syarikat itu terpaksa menutup operasinya.

Katanya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) kemudian memperkenalkan lesen khusus untuk badan pemungut royalti dikenali Collective Management Organization (CMO).

“Susulan itu, syarikat rakaman sekali lagi berusaha untuk mengambil alih hak royalti artis dengan menubuhkan Recording Performers Malaysia Berhad (RPM) dengan menjadikan penyanyi Datuk Sheila Majid sebagai Pengerusinya dan PPM sebagai pemungut hasil royalty”.

“Bagaimanapun, ia menimbulkan masalah lagi kerana pengetahuan Sheila untuk mengurus CMO terbatas, malah selepas tujuh tahun beliau hanya mengagihkan hak royalti untuk 2014/2015 dalam jangka masa lima tahun,” jelasnya.

Menurut Karyawan lagi, Aziz Bakar sekali lagi muncul dalam scenario royalty artis, namun kali ini sebagai penasihat kepada syarikat baharu dikenali Prism Berhad dengan Anuar Dahlan sebagai Pengerusi dan Ketua Pengarah Eksekutif.

Datuk Aziz Bakar

Katanya, tidak seperti RPM, Prism mula mengumpulkan royalti daripada kumpulan pengguna muzik hingga mengakibatkan rungutan kerana terpaksa membayar terlalu banyak badan.

“Menteri ketika itu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sekali lagi dibebani dengan aduan sama dari pengguna muzik persembahan awam sehingga memperkenalkan gabungan pemungut tunggal atau dikenali Music Rights Malaysia Berhad (MRM).

“Ia terdiri empat badan iaitu Perlindungan Hak Cipta Pengarang Muzik (MACP) mewakili komposer dan penerbit, PPM mewakili syarikat rakaman dan dua badan iaitu RPM dan Prism yang mewakili pihak artis.

“Hamzah telah menetapkan bahawa formula untuk mengagihkan royalti antara badan itu akan mengikuti cara barat dengan 2:1:1.

“MACP akan mendapat 50 peratus daripada royalti, PPM 25 peratus dan kedua-dua badan artis tersebut akan berkongsi 25 peratus,” katanya.

Bagaimanapun, menurut Karyawan, terdapat dua masalah yang timbul dengan sistem itu. Pertamanya walaupun anggota PPM bersetuju bergabung dengan MRM, mereka tidak berpuas hati dengan agihan diterima iaitu 25 peratus dari royalty yang di kutip oleh MRM.

Sebelum penubuhan gabungan MRM, PPM memperoleh jumlah hampir sama dengan MACP iaitu sekitar RM50 juta sebelum MRM diwujudkan. Masalah kedua adalah kedua-dua badan yang mewakili artis RPM dan Prism tidak mencapai kata sepakat untuk mengagihkan perolehan mereka,” katanya.

Bagaimanapun, satu lagi masalah timbul apabila Prism Berhad terpaksa ditutup selepas kalah dalam kes di mahkamah dengan PPM dan menjadikan RPM sebagai agensi tunggal yang masih wujud mewakili artis di MRM.

Sehingga hari ini pihak artis belum lagi menerima sesen pun dari kutipan MRM manakala badan-badan lain yang mengganggotai lembaga pengarah MRM pun tidak begitu tahu tentang berapa banyak yang patut dibayar kepada artis.

Kata Karyawan, apa-apa pun PPM telah meyakinkan kedua-dua badan lain bahawa penyelesaian terbaik adalah untuk menutup operasi MRM dan kembali kepada pelbagai badan mengutip royalti seperti sebelum penubuhan MRM.

Jelasnya, tujuh persatuan yang mewakili pengguna muzik membantah keputusan ini dan ingin mengekalkan sistem MRM di mana ada hanya satu badan yang buat kutipan.

“Karyawan menambah kepada ini dengan mengesyorkan bahawa pengagihan juga boleh dikendalikan oleh MRM.

“Nampaknya SPRM ada satu tugas berat untuk menyelesaikan perkara ini dan membawa sesiapa yang melakukan kesalahan ke muka pengadilan.

“Karyawan berterima kasih kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM dan pegawai-pegawainya kerana memberi peluang kepada Presiden kami untuk menyelesaikan masalah ini dan bersedia pada bila-bila masa untuk memberi bantuan sewajarnya supaya kemelut ini dapat diatasi dan akhirnya artis akan mendapatkan hak mereka yang sebenar,” katanya. – Malaysiapost