PERKHIDMATAN Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Kompleks Sukan Tawau, Sabah, mungkin dilanjutkan enam bulan bagi menyokong Hospital Tawau dalam menangani Covid-19.
Panglima Divisyen Kelima Infantri Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan berkata ia berdasarkan tren semasa peningkatan Covid-19 di Sabah dan Tawau khususnya.
Katanya, walaupun peringkat awal perancangan penubuhan hospital itu hanya untuk tiga bulan, namun ia dijangka berterusan.
“Kita menjangka operasi perkhidmatan di sini akan berlarutan sekurang-kurangnya untuk enam bulan akan datang.
“Apa yang kita lakukan ketika ini adalah meningkatkan lagi keupayaan kepakaran dan fasiliti lain supaya lebih lengkap, selain latihan kepada petugas,” katanya selepas lawatan di Hospital Medan ATM itu hari ini.
Turut hadir, Komander Hospital Medan ATM di Tawau, Kolonel Dr Shamsul Bahary Muhamad; Timbalan Pengarah Hospital Tawau, Dr Azman Ibrahim; Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau, Dr G Navindran dan Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Datuk Omar Mammah.
Muhammad Hafizuddeain berkata setakat ini pihaknya belum merancang meluas atau membesarkan lagi kapasiti hospital yang kini berada pada tahap optimum.
Pada masa sama, katanya, operasi dan perkhidmatan di hospital itu memberi nilai tambah selain peluang dan pengalaman berharga kepada pegawai dan anggota ATM.
Ini terutama pegawai perubatan dan doktor muda yang bertugas dalam suasana berbeza berbanding hospital biasa.
“Kewujudan hospital ini memberi impak yang amat signifikan dalam membantu penyediaan tambahan sebanyak 25 peratus daripada kapasiti katil di Hospital Tawau bagi keperluan pesakit bukan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost

