Cemar Sungai Selangor: Suspek buang sisa berjadual ikut lubang tandas

0
2

SUSPEK kes pencemaran di Sungai Selangor yang menyebabkan empat loji rawatan air (LRA) terpaksa dihenti tugas, dipercayai melepaskan buangan berpigmen secara haram melalui lubang tandas. 

Buangan berpigmen itu disyaki mengandungi sisa berjadual yang menyumbang kepada pencemaran sumber air mentah. 

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata siasatan awal mendapati bau bahan yang ditemui adalah sama seperti bau di Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) dan LRA. 

Katanya, sampel sudah diambil Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan akan dianalisis oleh Jabatan Kimia. 

“Operasi bersepadu membabitkan JAS, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), Air Selangor, polis, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dan Pejabat Daerah dan Tanah Gombak, mengenal pasti punca pencemaran bau yang menyebabkan operasi LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang, terpaksa dihenti tugas semalam. 

“Tindakan pantas dan kerjasama erat antara agensi Kerajaan Persekutuan dan Selangor berjaya menyelesaikan kes ini dalam masa kurang 24 jam,” katanya menerusi kenyataan.

Tuan Ibrahim turut mengingatkan pengurusan buangan terjadual juga perlu diberi perhatian yang serius bagi mematuhi undang-undang dan garis panduan sedia ada. 

Beliau berkata, buangan itu perlu dikitar semula atau dilupus di premis dilesenkan JAS sahaja kerana buangan terjadual yang mempunyai ciri-ciri berbahaya boleh mendatangkan risiko kesihatan kepada manusia serta pencemaran air, udara dan tanah. 

“Pihak industri atau mana-mana individu dilarang sama sekali untuk melupuskan buangan terjadual secara haram,” katanya. – Malaysiapost