Cemar Sungai Selangor: 40,000 liter bahan kimia ditemui

0
3

SERBUAN di sebuah premis di Jalan Velox, Rawang, yang dikaitkan dengan pencemaran Sungai Selangor membawa kepada penemuan 40 tong berisi 40,000 liter bahan buangan berjadual.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata setiap tong yang ditemui berkapasiti 1,000 liter.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihaknya masih menunggu perincian lanjut berhubung bahan yang ditemui daripada Jabatan Kimia untuk tindakan selanjunya.

“Siasatan awal mendapati premis itu disewa seorang wanita yang direman pagi tadi, sejak dua minggu lalu dengan bayaran sewa RM3,800 sebulan.

“Setakat ini, polis percaya premis itu dijadikan sebagai tempat membuang sisa kimia ke dalam satu lubang kumbahan disyaki terus mengalir ke kawasan tercemar di loji rawatan kumbahan Indah Water Konsortium (IWK) Taman Velox, Rawang.

“Berdasarkan siasatan, kami tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj dalam kejadian ini dan siasatan lanjut berhubung perkara berkenaan sedang dijalankan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Difahamkan, premis yang terletak di kawasan perindustrian itu hanya kira-kira 300 meter dari loji IWK.

Setakat jam 1.30 tengah hari ini, pihak Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) masih membuat pemantauan dan pemeriksaan semasa di loji berkenaan. -Malaysiapost