
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Dr Puad Zarkashi menyelar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dalam isu penubuhan kembali agensi itu.
Puad menggesa agar Saifuddin jangan bersikap pura-pura tidak tahu hal berkaitan peruntukan JASA.
Katanya, apabila Saifuddin Abdullah menyatakan tidak tahu peruntukan JASA sebegitu besar, ia menimbulkan banyak tanda tanya.
“Pertama, apakah dia menteri tidak ada kelas? Dia menambah lagi garam kepada kredibiliti kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dikritik kuat ekoran Bajet 2021.
“Mana mungkin dia tidak tahu. Jangan nanti rakyat tuduh Menteri PN buat kerja cincai di saat rakyat memerlukan kerajaan yang serius dan tidak politiking.
“Kedua, siapa yang memandai- mandai menjadikan bajet JASA begitu besar. Tidak mungkin Perdana Menteri apatah lagi KSU. Apakah ada Menteri yang lebih berkuasa. Elok Saifuddin berterus terang,” katanya menerusi Facebooknya.
Ketiga, menurutnya, mungkin Saifuddin bercakap benar bahawa dia hanya mangsa kepada ‘hidden’ agenda dan ‘politiking dalaman’.
“Apa pun nasi sudah jadi bubur. Kenyataan Saifuddin telah mencemarkan imej Perdana Menteri dan Kerajaan PN.
“Elok kurangkan bajet JASA. Ambil balik bekas pegawai JASA yang ditamatkan kontrak dan jadikan JASA agensi yang efektif dengan bajet munasabah,” katanya.
Dalam kenyataannya itu, Puad secara sinis mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Azmin Ali, yang dilantik sebagai Pengarah Pilihanraya PN bukan swkadar bukan Ketua Penerangan PN.
“Apakah ini kebetulan?,” perlinya. – Malaysiapost
