Dr M sanggup potong pencen 10% bantu rakyat hilang pendapatan

0
2

TUN Dr Mahathir Mohamad sanggup bayaran pencennya dipotong 10 peratus asalkan ia diguna untuk mengurangkan beban rakyat yang hilang pendapatan.

“Saya akui kehidupan saya tidak sedikit pun terjejas kerana ‘lockdown’ dan SOP (prosedur operasi standard) yang saya terpaksa amalkan,” kata bekas Perdana Menteri itu menerusi kenyataan hari ini.

Dr Mahathir berkata ketika menjadi Perdana Menteri, usul beliau yang pertama ialah memotong gajinya, gaji menteri dan timbalan menteri serta pegawai tinggi kerajaan sebanyak 10 peratus.

“Tidak pun ada masalah ekonomi yang besar di masa itu. Sekarang gaji sudah naik berkali ganda dari dahulu.

“Sementara ramai yang hilang pendapatan sama sekali, mereka yang bergaji dalam kerajaan tidak mengalami apa-apa kekurangan. Dalam syarikat swasta pun tidak ada kekurangan gaji.

“Untuk mengurang jarak antara yang bernasib baik dan yang bernasib buruk, pemotongan 10 peratus dari mereka yang terselamat untuk memberi kepada yang tidak selamat memang wajar,” katanya.

Semalam, Ahli Parlimen Langkawi itu mencadangkan kumpulan berpendapatan tinggi dalam kerajaan dan sektor swasta melepaskan 10 peratus daripada gaji bulanan mereka.

Ia, katanya, boleh digunakan untuk menyediakan makanan dan barang keperluan kepada mereka yang tidak bekerja atau tiada pendapatan.

“Shafie Apdal (bekas ketua menteri Sabah) cadangkan potongan gaji menteri 30 peratus. Itu jumlah yang besar. Saya fikir kumpulan berpendapatan tinggi dalam kerajaan dan sektor swasta harus melepaskan 10 peratus daripada gaji mereka,” katanya. – Malaysiapost