Nilam Oshman
PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Mesra, Sandakan, Sabah dilanjutkan 14 hari lagi bermula esok sehingga 24 November.
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan sebelum ini telah mengumumkan pelaksanaan PKPD di kawasan berkenaan bermula 28 Oktober sehingga hari ini.
Katanya, bagaimanapun, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah melaksanakan sebanyak 1,124 saringan dan mendapati 134 kes kumulatif positif Covid-19.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 43 kes telah sembuh sepenuhnya dan masih terdapat 91 kes aktif Covid-19 di kawasan ini.
“Atas nasihat dan penilaian risiko yang telah dilaksanakan oleh KKM, mesyuarat teknikal hari ini bersetuju untuk melanjutkan lagi PKPD di Taman Mesra, Sandakan selama 14 hari lagi bermula 11 November sehingga 24 November ini,” katanya. -Malaysiapost

