Bekerja dari rumah diperluas untuk penjawat awam di seluruh negara

0
2

Nilam Oshman

SEKTOR awam di negeri dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan bekerja dari rumah.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, mesyuarat hari ini mengambil maklum kesulitan yang dialami ibu-bapa memandangkan sekolah telah ditutup sehingga akhir tahun ini di semua negeri.

Katanya, setelah mendengar pembentangan daripada wakil Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), mesyuarat bersetuju untuk memberi kebenaran bekerja dari rumah bagi sektor awam dan sektor industri di negeri-negeri yang dikenakan PKPB dan PKPP.

Katanya, ia turut diperluaskan di negeri Pahang, Perlis dan Kelantan.

“Seperti pekeliling yang telah diedarkan sebelum ini, bagi sektor awam, jumlah kehadiran adalah maksimum 30 peratus yang akan ditentukan oleh ketua jabatan masing-masing.

“Pihak JPA juga akan mengeluarkan surat pekeliling berkaitan hal ini kepada semua negeri yang terlibat,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ismail Sabri berkata, bagi sektor industri, maklumat lanjut akan diumumkan oleh MITI dalam masa yang terdekat.

Bagaimanapun, katanya, arahan ‘work from home’ ini tidak melibatkan sektor-sektor tidak formal seperti peruncitan, restoran, perladangan, pertanian, perikanan dan lain-lain. -Malaysiapost