Piala Malaysia: MFL kemuka rayuan kepada MKN

0
1

Muhammad Mustakim Ramli

PENGENDALI Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) mengemukakan rayuan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi memohon pertimbangan semula berhubung keputusan menangguhkan Piala Malaysia 2020.

Rayuan dibuat susulan permohonan untuk meneruskan Piala Malaysia ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dikemukakan oleh MFL melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) ditolak menerusi pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, berkata keputusan untuk membuat rayuan kepada MKN itu diputuskan selepas mesyuarat khas Ahli Lembaga Pengarah MFL hari ini.

Katanya, MFL sedia maklum mengenai keputusan MKN yang mengambil kira situasi Covid-19 yang menyebabkan PKPB di Semenanjung kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan yang dilanjutkan sehingga 6 Disember ini.

“Bagaimanapun MFL masih berharap MKN dapat mempertimbangkan rayuan untuk meneruskan saingan Piala Malaysia musim ini dengan perancangan khas serta SOP (Prosedur Operasi Standard) yang lebih ketat termasuk mengadakan perlawanan secara berpusat iaitu “quarantine based”.

“Sebagai contoh pasukan yang layak ke peringkat suku akhir akan bermain di sebuah negeri sehingga ke peringkat separuh akhir dan seterusnya ke perlawanan akhir.

“Pasukan yang kalah pada perlawanan peringkat suku akhir dan separuh akhir akan meninggalkan negeri tersebut setelah tamat perlawanan.

“Keputusan mengemukakan rayuan ini disokong lapan pasukan yang layak ke suku akhir di mana mereka sedia untuk beraksi mengikut perancangan dan SOP seperti ditetapkan MFL dan MKN,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

MFL sebelum ini beberapa kali berbincang bersama Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam mencari jalan meneruskan Piala Malaysia selepas kerajaan mengumumkan PKPB kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan pada 7 November, sehari selepas pusingan pertama bermula.

Sementara itu, Ab Ghani berkata, berdasarkan permohonan pertama kepada MKN sebelum ini, MFL telah menyediakan perancangan khas untuk menyambung saingan Piala Malaysia bagi pusingan suku akhir, separuh akhir dan final.

Katanya, dalam surat permohonan itu, MFL menyediakan perancangan meneruskan Piala Malaysia di negeri-negeri berkecuali PKPB, di mana MFL telah memohon menggunakan Stadium Sultan Mohamad Ke-IV, Kota Bharu dan Stadium Darul Makmur, Kuantan untuk aksi suku akhir, separuh akhir dan final.

“Kami amat berharap perancangan ini dipertimbang memandangkan penangguhan Piala Malaysia memberi banyak kesan kepada industri bola sepak negara keseluruhan.

“MFL serta semua pasukan bakal terkesan terutama dari segi komitmen penajaan yang telah dimeterai dan ditandatangani bersama untuk Liga Malaysia 2020 sekiranya Piala Malaysia tidak dapat diteruskan.

“Agak sukar MFL menangguhkan kejohanan ini memandangkan kontrak pemain Liga Malaysia 2020 bersama pasukan bakal berakhir pada hujung bulan ini,” katanya. – Malaysiapost