Elak heret institusi Raja ke kancah politik – Mat Sabu

0
1

[Parlimen] AHLI Parlimen Kota Raja, Mohamad Sabu mengingatkan semua pihak termasuk ahli politik supaya tidak mengheret institusi raja ke kancah politik tanah air.

Menurut bekas Menteri Pertahanan itu keadaan negara boleh menjadi huru-hara seperti yang berlaku Thailand jika institusi diraja terus dipolitikkan.

“Sebarang pertelingkahan ahli politik janganlah kita mengheret institusi Raja-Raja Melayu kerana ia akan bahaya pada generasi yang akan datang.

“Kita lihat Thailand misalnya, raja itu seperti wakil dewa yang dijelmakan di muka bumi dan cara mereka hadap begitu tertib dan rendah diri.

“Namun akhirnya berlaku (protes) baju merah dan baju kuning yang dikatakan ini pro (penyokong) perdana menteri dan ini pro istana,” katanya pada sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Mohamad pada masa sama berharap rakyat, khususnya ahli politik kekal menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai payung negara.

“Kita tidak mahu Malaysia mengikuti jejak Thailand itu. Kita wajar menghormati kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai payung negara,” katanya. – Malaysiapost