Hujan kerap punca tanah runtuh

0
1

KEKERAPAN hujan lebat dan struktur tanah lemah dipercayai menjadi punca berlaku kejadian tanah runtuh yang mengakibatkan dua mangsa maut di salah satu villa di resort eksklusif, The Banjaran HotSpring Retreat, Tambun, awal pagi tadi.

Timbalan Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia Perak, Mat Niza Abdul Rahman, berkata tanah yang semakin lemah akibat hujan lebat mengakibatkan berlakunya tanah runtuh sehingga menimbuskan sebahagian daripada villa itu.

“Kawasan ini dikelilingi oleh bukit batu kapur dan di atasnya ada tanah, baki hasil relau batu kapur itu.

“Jika kita lihat atas tanah baki itu tumbuh pokok dan nampak macam cantik serta stabil.

“Tetapi apabila hujan yang banyak (lebat) semalam, air hujan itu melemahkan tanah yang berada di atas batu kapur itu,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mat Niza berkata, ada kemungkinan berlaku sekali lagi tanah runtuh kerana kerana musim hujan yang kerap ketika ini.

“Risiko berlaku lagi kejadian tanah runtuh itu memang ada, tetapi kita tidak tahu bila akan berlaku dan bergantung kepada kekuatan tanah itu.

“Ini adalah kejadian tanah runtuh yang kali pertama berlaku di kawasan The Banjaran HotSpring Retreat ini,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan berbincang dengan pihak berkuasa berkenaan langkah-langkah yang seterusnya, berikutan insiden ini.

“Kemungkinan kami akan membuat sedikit kajian untuk mengenalpasti tahap keselamatan di sekitar kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Bomba Perak, Azmi Osman, berkata seramai 47 anggota bomba termasuk enam anggota dan dua anjing pengesan dari Unit K9 dari Lembah Klang digerakkan untuk operasi pencarian mangsa.

“Kejadian kemungkinan hujan lebat beberapa hari ini yang juga berkemungkinan berlakunya pergerakan tanah dan air di aras bukit.

“Ketinggian (cerun) dianggarkan kira-kira 100 meter dan kawasan pencarian memfokuskan dalam kawasan jakuzi yang berada dalam villa berkenaan,” katanya. -Malaysiapost