SERAMAI 6,854 penjawat awam negeri Kelantan akan menerima bantuan kewangan bernilai RM600.
Perkara itu diumumkan Menteri Besarnya, Datuk Ahmad Yakob pada sesi penggulungan sidang dewan undangan negeri (DUN) di Kompleks Kota Darul Naim, Kota Bharu, hari ini.
Dalam masa sama, menurut Ahmad Yakob, bantuan sama juga diberikan kepada kakitangan kerajaan lantikan politik bernilai RM300 melibatkan 4,220 orang.
“Kerajaan negeri bersetuju memberi bantuan kewangan kepada kakitangan awam, seramai 6,854 orang yang akan menerima RM600.
“Manakala lantikan politik sebanyak RM300, melibatkan penghulu, kakitangan pegawai halaqah, guru al Quran dan fardu ain, guru pondok dan sebagainya,” katanya.
Sementara itu, Ahmad turut menasihatkan seluruh rakyat untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi memastikan pandemik Covid-19 dapat diputuskan.
“Kita juga mesti banyak berdoa, terutamanya kita sebagai pemimpin, kita sebagai Adun, sebagai exco.
“Sekurang-kurangnya bacalah doa sebelum subuh dan selepas subuh setiap hari, insya-Allah doa kita termakbul demi kita sayangkan rakyat kita,” katanya. -Malaysiapost

