Pejuang akui dalam dilema untuk sokong Belanjawan 2021

0
3

PARTI Pejuang Tanah Air (Pejuang) menyifatkan Belanjawan 2021 hanya bersifat populis tanpa mengambil kira kepentingan rakyat dan hala tuju ekonomi Negara.

Sehubungan itu, Pejuang mengakui berada di dalam dilema apabila diminta menyatakan pendirian terhadap Belanjawan 2021.

“Untuk menyokong Belanjawan tersebut, Ahli-Ahli Parlimen Pejuang merasa mengabaikan kepentingan awam kerana belanjawan itu rata-rata bersifat populis tanpa mengambil kira kepentingan rakyat dan hala tuju ekonomi Negara.

“Untuk tidak menyokong kami akan dituduh bermain politik ketika keadaan negara terdesak akibat daripada wabak Covid-19.

“Selain itu, jika kami mengambil pendirian tidak menyokong, kami akan dituduh tidak taat kepada titah Yang di-Pertuan Agong,” kata parti itu dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan bersama itu membabitkan Tun Dr Mahathir Mohamad (Ahli Parlimen Langkawi), Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Pejuang berkata, amatlah malang pihak Kerajaan kelihatannya tidak ikhlas terhadap sikap prihatin Yang di-Pertuan Agong yang bimbang jika belanjawan tidak lulus maka negara akan menghadapi masalah kecairan untuk mentadbir.

“Sebaliknya, apa yang telah dilakukan oleh pihak Kerajaan ialah mengguna titah Yang di-Pertuan Agong sebagai satu “blank cheque” untuk memasukkan beberapa aspek ke dalam belanjawan itu yang menjurus kepada keuntungan politik dan mengenepikan kepentingan awam.

“Peruntukan yang begitu besar kepada agensi propaganda JASA salah satu simptom yang jelas meletakkan kepentingan politik mengatasi kepentingan rakyat,” katanya.

Parti itu berkata, kerana itu pihaknya melihat belanjawan yang dibentang itu sebagai tidak menghayati semangat
titah Yang di-Pertuan Agong yang meletakkan kepentingan rakyat mengatasi
kepentingan politik.

“Kami berharap aspek-aspek belanjawan yang digusarkan dan ditimbulkan oleh rakyat, pakar ekonomi, pemimpin kesatuan sekerja, penganalisa, pemimpin badan bukan Kerajaan, ahli akademik dan anggota masyarakat dapat dinilai, diperbetul dan jika perlu dibatalkan,” katanya.

Pejuang menjelaskan, jika ini dapat dilakukan, maka kami bersedia memberikan sokongan kepada Belanjawan 2021. -Malaysiapost