PENJUALAN tiket bas ke Kelantan bagi perjalanan malam tadi dan hari ini dilaporkan meningkat secara mendadak atau laku keras.
Ia susulan orang ramai dikatakan mengambil peluang pulang ke kampung sebelum Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKBP) dikuatkuasa bermula esok hingga 6 Disember di Semenanjung, kecuali Kelantan, Pahang dan Perlis, lapor Malaysiakini.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad, Che Ibrahim Che Ismail, berkata kebanyakan bas yang mereka kendalikan terutama dari Perak, Johor dan Pulau Pinang penuh sejak malam tadi hingga pagi ini.
“Kebanyakan bas mendapat sambutan di negeri yang baru dilaksanakan PKPB.
“Sambutan bagi perjalanan dari Lembah Klang masih sama kerana negeri berkenaan memang sudah menjalani PKPB dan memerlukan surat kelulusan perjalanan,” katanya.
Sementara itu, penumpang dari utara, Arman Daud, 29, berkata dia sengaja memilih pulang ke kampungnya di Kota Bharu kerana PKPB dilaksanakan.
“Apabila PKPB dilansanakan nanti, operasi di tempat kerja saya dihentikan. Jadi saya terpaksa balik sehingga keadaan kembali seperti sediakala,” katanya. – Malaysiapost

