LANGKAH membawa Pakatan Harapan (PH) ke dalam kancah kerajaan adalah langkah ke belakang kerajaan Perikatan Naional (PN), kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Razlan Rafii.
Beliau berkata, telah banyak kemusnahan ekonomi berlaku ketika era pemerintahan PH sehinggakan ekonomi tidak bergerak dan projek banyak dibatal.
“Kalau nak sambung pun (projek) perlu jumpa Menteri Kewangan. Banyak rasuah berjalan sehingga tak sempat SPRM nak siasat.
“Negara luar tak yakin dengan Malaysia kerana tender-tender besar dibatalkan oleh PH. Ahli kerajaan PH pada ketika itu mentadbir negara dengan perasaan membalas dendam,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang ingin mempertimbang untuk mempelawa pembangkang ke mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi atau mengurus permasalahan Covid-19.
Justeru, Razlan menasihatkan supaya PN mengurangkan permainan politik sebaliknya memberi fokus menyelesaikan masalah ekonomi dan Covid-19.
“Maaf cakap, yang ada sekarang di dalam kerajaan pun sudah berselirat dan punyai banyak pandangan, jadi, sudah-sudahlah kerajaan Tan Sri Muhyddin ini bermain politik, sila lah fokus kepada masalah negara,” katanya.
Beliau berkata, Muhyddin perlu sedar ketika zaman pemerintahan PH banyak perkara berkaitan ekonomi dan rakyat tidak diutamakan, malah PH terus membawa cadangan yang tidak boleh digunakan untuk memajukan negara.
“Ingat lagi cadangan Kripto Coin oleh Khalid Samad, E-wallet RM30 oleh Lim Guan Eng, tanam buluh dan sesudu minyak Kelapa Sawit oleh Teresa Kok, MySalam RM400 juta kerajaan bayar, guna hanya 13 juta dan kereta terbang oleh (Datuk Seri) Redzuan (Md Yusof).
“Ini baru sedikit contoh daripada beratus peristiwa ‘formula’ PH yang gagal dan membelakangkan rakyat hingga membawa negara kepada kemusnahan struktur ekonomi,” katanya. – Malaysiapost

