Kerajaan berat hati luluskan pengeluaran KWSP – PM

0
1

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan pada mulanya amat berat hati meluluskan pengeluaran Akaun Satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Bagaimanapun, katanya, kelonggaran diberikan kepada golongan sasar, memandangkan situasi semasa segelintir rakyat yang terkesan dengan pandemik Covid-19 amat teruk.

“Bukan soal tak nak bagi, tapi macam mana nak lihat jaminan masa depan pencarum, apabila sudah keluarkan akaun dua, sekarang akaun satu.

“Jadi, apa jaminan lepas bersara, tetapi kita lihat situasi amat gamat kerana ada yang memang terkesan dalam keadaan sekarang sehingga mungkin tiada duit.

“Tetapi, sebahagian besar pencarum simpanan tidak banyak, sekitar RM5,000 hingga RM10,000, jadi harus diperhalusi corak pengeluaran ini.

“Jadinya, kita buat keputusan secara bersasar,” katanya menerusi siaran eksklusif bersama Perdana Menteri, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, pihak perbankan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan lanjutan moratorium yang diberikan secara bersasar seperti diumumkan dalam Belanjawan 2021.

Beliau berkata, tiada masalah bagi pihak perbankan melaksanakan kecairan (market liquidity) dalam sistem kerana ia boleh mendatangkan kerugian jika disimpan dalam keadaan perniagaan semakin jatuh.

“Sehubungan itu lebih baik mereka (bank) sokong perniagaan dengan memberikan lanjutan moratorium secara bersasar supaya perniagaan mampu berdiri dan (peminjam) bayar semula bagi memberi kebaikan dan faedah kepada bank.

“Sebab itu, Bank Negara Malaysia menasihatkan bank supaya memberi perhatian dan jangan menolak sahaja selain bersedia berunding untuk lanjutan moratorium, ” katanya. -Malaysiapost