Belanjawan 2021: MOF nafi peruntukan KKM berkurang

0
1

MENTERI Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz menjelaskan peruntukan Belanjawan 2021 untuk Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) adalah RM31.9 bilion iaitu lebih tinggi berbanding RM30.6 bilion daripada tahun 2020.

Beliau berkata, perkara itu perlu dijelaskan kerana banyak pihak membuat tohmahan berhubung peruntukan kesihatan dalam Belanjawan 2021.

“Hakikatnya, di dalam Buku Anggaran Hasil dan Perbelanjaan Kerajaan, jumlah bagi bekalan perubatan serta bahan guna habis (consumables) sebanyak RM4.29 bilion telah diasingkan dan diperuntukkan di bawah butiran (Program Khusus).

“Ini termasuk Bekalan Perubatan Fasiliti Perubatan Kerajaan sebanyak RM2.89 bilion dan Konsesi Penswastaan Makmal Ubat sebanyak RM1.4 bilion,” katanya dalam kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau berkata, disebabkan itu jumlah peruntukan di bawah butiran (Perubatan) menunjukkan ‘pengurangan’ daripada RM14.2 bilion (2020) kepada RM11.3 bilion (2021).

“Butiran ini mengandungi peruntukan bagi pelbagai bidang kepakaran kesihatan termasuk nefrologi dan farmasi. Hakikat yang sebenar: tiada bidang kepakaran yang mengalami pengurangan peruntukan,” katanya.

Beliau berkata, Kerajaan juga memperuntukkan RM24 juta bagi menangani isu kesihatan mental melalui pengukuhan Program Kesihatan Mental, Pencegahan Keganasan dan Kecederaan serta Penyalahgunaan Substans.

“Dari segi lain, Kerajaan menyediakan RM420 juta untuk tingkatkan Rancangan Makanan Tambahan dengan bekalan susu setiap hari persekolahan buat manfaat murid dari keluarga berpendapatan rendah.

“Kita mahu anak-anak membesar dengan sihat, mendapat pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh,” katanya.

Beliau berkata, seperti yang diumumkan semalam, Kerajaan memperuntukkan RM475 juta sebagai peruntukan tambahan untuk bekalan reagen dan bahan guna habis yang diperlukan berkaitan Covid-19.

“RM318 juta bagi penyediaan peralatan PPE dan ‘hand sanitiser’ kepada petugas barisan hadapan.

“RM150 juta kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara bagi menyelaras usaha memerangi Covid-19; RM50 juta bagi perolehan peralatan, bekalan ujian makmal dan ubat-ubatan di Hospital Pengajar Universiti serta menambah peralatan pengoperasian fasiliti pergigian, perkhidmatan klinik secara maya serta penyediaan fasiliti zon saringan dan termometer di kemudahan kesihatan bagi memenuhi SOP norma baharu,” katanya.

Beliau berkata, peruntukan tambahan ini tidak termasuk dalam peruntukan belanja mengurus yang terkandung di dalam Buku Anggaran Perbelanjaan kerana ianya diperuntukkan secara berasingan di bawah Kumpulan Wang Covid-19.

“Semua peruntukan di atas belum kira lagi jumlah yang telah disalur tahun ini, di mana Kerajaan telah memperuntukkan RM1.8 bilion bagi pelaksanaan kawalan pergerakan serta keperluan kesihatan awam berkaitan Covid-19.

“Antaranya untuk membeli Kelengkapan Perlindungan Diri atau PPE, reagen dan bahan guna habis,” katanya.

Justeru, Tengku Zafrul berkata, beliau sekali lagi menjelaskan, Kerajaan tidak akan berkompromi di dalam usaha melindungi nyawa dan kesihatan rakyat Malaysia.

Terdahulu, Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, Belanjawan 2021 seharusnya menjadi sebuah belanjawan kesihatan dan memfokuskan penjagaan kesihatan sebagai tulang belakang.

Beliau berkata, lebih-lebih lagi, isu kesihatan pada tahun ini sudah menjadi isu global dan paling kritikal di Malaysia.

Pengasas Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) itu berkata, malang nya, KKM telah menyaksikan potongan besar dalam banyak sektor kesihatan utama dan Belanjawan 2021 tidak berupaya untuk menyelesaikan masalah dalam institusi kesihatan negara yang kritikal. -Malaysiapost