Polis tahan lelaki rogol anak berusia 16 tahun

0
2

SEORANG lelaki ditahan polis Isnin lalu kerana disyaki merogol anak kandungnya berusia 16 tahun secara berterusan sejak Februari lalu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak, berkata suspek berusia 42 tahun itu dikatakan melakukan perbuatan terkutuk itu terhadap remaja perempuan berusia 16 tahun terbabit di kediaman mereka di Bukit Antarabangsa, Ampang.

“Pada Ahad lalu, mangsa melarikan diri dari rumah ke Terminal Bersepadu Selatan (TBS), Cheras secara berseorangan.

“Di TBS, mangsa ditahan polis kerana mangsa tiada permit perjalanan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Setelah ditemubual, mangsa menceritakan ingin pulang ke pangkuan ibunya di Kuala Nerang, Kedah kerana tidak tahan dengan perbuatan bapa kandungnya. Ibu bapa mangsa bercerai pada 2004 selepas mangsa dilahirkan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, mangsa pernah mencuba untuk membunuh diri dengan minum cecair pencuci lantai pada Jun lalu, akibat tertekan dengan perbuatan bapanya itu.

“Mangsa adalah anak tunggal dan masih bersekolah di Ampang manakala suspek berkerja sebagai pengusaha perkhidmatan cuci pejabat.

“Siasatan lanjut turut mendapati pada September 2019, suspek mendapat hak penjagaan dan membawa mangsa untuk tinggal bersama di Bukit Antarabangsa.

“Rumah itu turut didiami ibu tiri dan empat adik tiri mangsa. Suspek dipercayai merogol remaja itu pada awal pagi ketika ahli keluarga lain sedang tidur,” katanya.

Suspek mempunyai satu rekod jenayah membabitkan kes rogol adik iparnya mengikut Seksyen 376A Kanun Keseksaan.

Lelaki itu direman selama tujuh hari berakhir hari ini mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan. -Malaysiapost