Ebit Liew teruskan misi bantuan, hantar bekalan asas ke Sabah

0
1

TERKESAN dengan kesusahan rakyat Sabah, Pendakwah Ebit Lew, meneruskan lagi misi bantuan dengan menghantar bekalan keperluan asas ke negeri itu.

Menerusi perkongsian di Facebooknya, Ebit meluahkan perasaan risau dengan keadaan rakyat di Sabah selepas menerima banyak mesej meminta bantuan.

“Doakan ya. Risau ramai mengadu lapar yang memerlukan bantuan makanan asas.

“Saya bekerjasama dengan My Jet Express menghantar bekalan keperluan asas ke Sabah untuk diagihkan.

“Sayu malam-malam bila baca tentang sebahagian orang Sabah. Ramai sangat mesej saya. Baca berita rasa sedih,” katanya.

Beliau berkata, penghantaran itu menggunakan tiga biji lori Elewsmart dari ‘warehouse’ Elewsmart terus ke Airport Senai, Johor Bahru, malam tadi.

“My Jet Express akan fly dari Senai ke Kota Kinabalu. Membawa 10 tan barang makanan asas.

“Syukur dapat bekerjasama dengan My Jet Express. Terharu layanan baik sangat Chairman My Jett Tuan Hj Mohamed Yunos dan Ceo Hj Azrol Hisham,” katanya.

Mengakhiri catatannya, Ebit meminta semua pihak mendoakan rakyat Sabah.

“Doakan Sabah ya. Doakan seluruh Malaysia. Doakan seluruh dunia. Jangan ada satu orang pun lapar dan tiada makan minum. Ini ujian untuk kita semua,” katanya.

Pada 30 Oktober lalu, Ebit menghantar barangan perubatan ke Sabah termasuk kelengkapan pelindungan diri (PPE), pelindung muka (face shield) dan pelindung kasut untuk keperluan petugas barisan hadapan.

Katanya, kesemua keperluan itu dihantar menggunakan perkhidmatan Raya Airways. -Malaysiapost